Pertubuhan Jurukur DiRaja Malaysia (RISM) Bantu Pelajar UiTM Akibat Wabak Pandemik Covid-19

Pertubuhan Jurukur Di-Raja Malaysia (RISM) telah menyerahkan sumbangan bernilai RM2000.00 kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi meringankan beban warga luar kolej kediaman ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19 di seluruh Malaysia yang bermula pada awal tahun 2020.

Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim melalui wakil RISM- Geomatic and Land Surveying (GLS) Division iaitu Sr Dr Saiful Aman Hj Sulaiman yang turut merupakan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) pada 12 April 2020 yang lalu.

Wang sumbangan ini seterusnya diserahkan kepada Pengetua Unit Non-Residen (NR) UiTM Shah Alam, En. Hisyam Che Mat bagi pembelian pelbagai barangan keperluan asas harian seperti beras, gula, garam, kicap, telur, dan ikan sardin dalam tin di beberapa lokasi hentian di sekitar Shah Alam. Lokasi- lokasi hentian ini diadakan bagi memudahkan para pelajar mengambil bekalan- bekalan ini, di mana staf residen dan Jawatankuasa Pelajar NR UiTM Shah Alam bertindak sebagai para petugas bagi aktiviti pengagihan tersebut yang berpusat di Pusat Khidmat Pelajar, Seksyen 7, Shah Alam.

 Program agihan makanan yang diadakan bermula 18 Mac 2020 telah banyak membantu para mahasiswa dan mahasiswi yang menyewa di sekitar Shah Alam untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman serta barangan keperluan asas akibat daripada penguatkuasaan PKP di Malaysia.