Pertemuan Pensyarah – Pelajar UPI Buka Program Pengantarabangsaan 2020 di Fakulti Pendidikan

Pertemuan Pensyarah-Pelajar UPI Buka Program Pengantarabangsaan 2020 di Fakulti Pendidikan
Pensyarah FPSD UPI bergambar bersama pelajar UPI dan pensyarah Fakulti Pendidikan

1 Januari 2020 – Fakulti Pendidikan telah menganjurkan sesi mesyuarat dan pertemuan di antara pensyarah Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dan 5 mahasiswa UPI yang sedang menjalani pengajian satu semester di Fakulti Pendidikan.

Dr. Taswadi, En. Bandi Sobandi dan En. Warli Haryana merupakan pensyarah dari Fakultas Pendidikan Seni dan Desain (FPSD), UPI. Ketiga-tiga pensyarah UPI ini berada di Malaysia bagi memenuhi jemputan sebagai penilai untuk program Visual Art and Design Education Showcase 2019 anjuran Fakulti Pendidikan.

Pertemuan Pensyarah-Pelajar UPI Buka Program Pengantarabangsaan 2020 di Fakulti Pendidikan
Meraikan pensyarah dan pelajar UPI dengan makan tengahari

Di samping pelajar dari Beijing Union University (BUU), Republik Rakyat China, Fakulti Pendidikan turut berperanan sebagai hos kepada 5 orang pelajar Program Pendidikan Seni Halus FPSD UPI. Pelajar-pelajar ini mengikuti mod pemindahan kredit untuk beberapa kursus di Jabatan Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan, bagi semester September 2019-Januari 2020.

FPSD UPI merupakan salah satu rakan kolaborasi antarabangsa Fakulti Pendidikan paling rapat dengan pelbagai program mobiliti dan pengantarabangsaan dilaksanakan setiap tahun. Kesempatan pertemuan ini digunakan sepenuhnya untuk berbincang potensi mengadakan memorandum perjanjian di antara dua fakulti khusus untuk program pemindahan kredit pelajar dan merancang program-program mobiliti dan pengantarabangsaan untuk tahun 2020.