Pertandingan WorldSkills Malaysia 2019 – Pingat Emas milik UiTM Pulau Pinang

Alman Abiden menjadi Juara dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019

PUTRAJAYA – Alman Abiden, pelajar Diploma Seni Kulinari (HM115) dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah diumumkan sebagai Juara dengan mendapat pingat Emas bidang ‘Cooking’ dalam Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019 peringkat akhir yang telah berlangsung pada 10-13 Oktober 2019 di UiTMCPP Kampus Permatang Pauh.

Walau bagaimanapun, semua nama pemenang telah diumumkan secara rasminya dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) pada 19 November 2019 di PICC, Putrajaya. Alman Abiden berjaya menewaskan peserta-peserta daripada institusi pendidikan tinggi dan pusat latihan yang lain.

Beliau juga membawa pulang wang tunai RM5000.00, medal, dan sijil penghargaan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Semua hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat M. Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia dan Yang Berhormat Dato’ Mahfuz Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Kemenangan ini telah melayakkan beliau untuk mewakili Malaysia dalam Pertandingan WorldSkills ASEAN, Singapura tahun 2020 dalam kategori yang sama. Latihan yang mantap, disiplin dan komitmen yang tinggi serta bimbingan daripada jurulatih dari kalangan tenaga pengajar FPHP, UiTM Cawangan Pulau Pinang merupakan kunci kejayaan beliau selain daripada restu orang tuanya. Kejayaan ini, berjaya mengharumkan nama UiTM dan UiTMCPP khususnya.

1
0