PUNCAK ALAM, 23 April 2024 – Satu majlis pembentangan akhir bagi Pertandingan Reka bentuk Landskap, Pusat Pelajar, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah berlangsung dengan jayanya. Pengajian Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam bertindak selaku tuan rumah bagi majlis tersebut. Pertandingan tersebut merupakan hasil kerjasama antara KAB, Konsesi TRplc Sdn Bhd. dan Jabatan Fasiliti UiTM Cawangan Selangor. Sesi pembentangan tersebut turut dihadiri oleh pemangku Penolong Naib Canselor (PNC), KAB, Profesor Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi, Dekan Hal Ehwal Pelajar, KAB, Sr. Dr. Ahmad Shazrin Mohamed Azmi bersama Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek, Ketua Bidang Senibina Landskap, KAB. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi dan seterusnya sesi pembentangan berlangsung pada jam 9.00 pagi.
Sebanyak lima kumpulan yang terdiri daripada pelajar Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian) telah mengambil bahagian. Masing-masing mempertaruh reka bentuk landskap mengikut konsep yang tersendiri. Sesuai pembentangan oleh setiap kumpulan, para juri diberi peluang untuk bertanyakan soalan. Setiap kumpulan diberikan masa selama 20 minit bagi setiap sesi pembentangan. Juri bagi pembentangan tersebut terdiri daripada empat orang wakil Konsesi TRplc Sdn Bhd. dan Jabatan Fasiliti UiTM Cawangan Selangor manakala KAB diwakili oleh Ketua Bidang Senibina Landskap, Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek selaku ketua juri.
Seusai sesi pembentangan, maka penyampaian hadiah menyusul kemudiannya. Setiap pemenang akan menerima wang tunai berserta sijil penyertaan. Tempat pertama akan membawa pulang RM2,500.00, tempat kedua akan membawa pulang RM2,000.00 manakala tempat ketiga akan membawa pulang RM1,500.00. Terdapat dua penerima hadiah saguhati masing-masing akan membawa pulang RM1,000.00. Semua juri sebulat suara menobatkan kumpulan yang mereka bentuk landskap berkonsepkan ”IQRA” sebagai pemenang utama. Mereka terdiri daripada dua orang pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan di bawah seliaan Ts. Dr. Shaibatul Islamiah Che Man. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh pemangku Penolong Naib Canselor (PNC), KAB, Profesor Madya Ts. Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi dan diiringi oleh Profesor Madya LAr. Ts. Dr. Nurhayati Abdul Malek, Ketua Bidang Senibina Landskap. Selain itu, sijil penghargaan kepada semua pensyarah PSL yang menjayakan majlis tersebut turut disampaikan. Selesai sahaja penyampaian hadiah tersebut, para juri dijemput melihat poster pembentangan. Kemudian, sesi bergambar bersama para juri dan peserta telah dijalankan di dataran KAB sebagai kenang-kenangan. Majlis ini sangat bermakna kerana dapat melihat kebolehan para pelajar dalam mereka bentuk landskap yang dikehendaki. Selain itu, mereka berupaya untuk berinteraksi dan berkominikasi secara berkesan demi meyakinkan hati para juri.