Pertandingan 3R Upcyling IdamanXChange, Pelajar Diploma Ukur Bahan Raih Naib Johan Kategori IPT

Seri Iskandar, 2 Jun 2024 – Sekumpulan pelajar dari Diploma Ukur Bahan (AP114), Kolej Pengajian Alam Bina, dengan kerjasama Kelab Kampus Lestari dan Jawatankuasa Kampus Hijau, UiTM Cawangan Perak telah berjaya merain Naib Johan dalam pertandingan 3R Upcyling IdamanXChange yang dianjurkan oleh E-Idaman Sdn Bhd. Pertandingan ini berlansung di Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan kitar semula dan pengubahsuaian bahan buangan kepada produk berguna.

Pertandingan IdamanXchange Upcycling Now Trophy  menyaksikan pelajar-pelajar Kolej Pengajian Alam Bina mencipta sebuah meja teh unik meggunakan dokumen tender terpakai. Produk kreatif ini mempamerkan kebolehan teknikal dan artistik para pelajar yang bukannya Sahaja bidang seni dan arkitek, tetapi juga menonjolkan kepentingan kitar semula dan pemuliharaan alam sekitar.

Meja teh yang dihasilkan adalah bukti nyata bahawa bahan buangan seperti dokumen tender terpakai boleh diberi nafas baharu dan dijadikan produk yang berguna dan estetik. Proses pembuatan meja teh ini melibatkan pelbagai peringkat, dari mengumpul dan memilih dokumen tender yang sesuai, merekabentuk dan membentuk bahan tersebut, sehingga pemasangan akhir yang menghasilkan sebuah meja teh yang kukuh dan menarik. Para pelajar yang terlibat meluahkan rasa gembira mereka kerana dapat memberikan sumbangan kepada kempen kitar semula dan pemuliharaan alam sekitar.

Komitmen pihak E-Idaman Sdn Bhd dan Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak turut dipuji kerana memberikan platform kepada para pelajar untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka. 

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dari E-Idaman Sdn Bhd, Tuan Haji Mohd Firdaus Mohd Isa, penyertaan dalam pertandingan seperti ini adalah penting dalam usaha mengalakkan kesedaran mengenai kepentingan kitar semula dan kelestarian alam sekitar di kalangan pelajar. “Kami berharap aktiviti seperti ini dapat memberikan insipirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk turut serta dalam projek-projek yang memberikan manfaat kepada alam sekitar” tambah beliau.

Sesi Penyampaian hadiah bagi pertandingan ini telah diadakan di Kolej Komuniti Kepala Batas pada 2 Jun 2024. Bagi UiTM Cawangan Perak, yang diwakili oleh ketua penasihat projek, Ts. Sr Dr Siti Nur Aishah Mohd Noor, membawa pulang wang tunai, trofi dan sijil penyertaan. Tempat ketiga turut diraih oleh UiTM Cawangan Perak bagi program Senibina. 

 

Pencapaian pelajar Kolej Pengajian Alam Bina ini adalah satu langkah ke hadapan dalam mewujudkan masa depan yang lebih lestari dan hijau. Dengan menggabungkan teknologi, kreativiti, dan kesedaran alam sekitar, kita dapat mencipta produk-produk yang tidak hanya berguna tetapi juga mesra alam.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pelajar dan pihak yang terlibat atas kejayaan ini. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan masyarakat umum untuk menyokong dan menyertai usaha-ushaha kelestarian alam sekitar. Bagi program Diploma Ukur Bahan,  UiTM Cawangan Perak, 4 pasukan projek kitar semula telah dihantar di bantu oleh para pensyarah penasihat selain Dr Siti Nur Aishah ialah Puan Nur Fatiha Mohamed Yusof dan Puan Noor Anisah Abdullah@Dolah. Tahniah di atas penglibatan dan komitmen yang diberikan kepada para pelajar.

Penulis : Ts. Sr Dr Siti Nur Aishah Mohd Noor,  Pn Nur Fatiha Mohamed Yusof, Pn Noor Anisah Abdullah @ Dolah