SARAJEVO, 15 SEPTEMBER 2023 – Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah berjaya menganjurkan International Conference on Public Policy and Social Sciences (ICoPS) 2023 dengan kerjasama International Universtiy of Sarajevo (IUS), Bosnia dan Herzegovina, pada 13 hingga 15 September 2023. Persidangan pada kali ini diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal di IUS dan secara maya melalui aplikasi Webex. Dengan bertemakan “Contemporary Public Administration & Governance”, persidangan ini bertujuan untuk menyediakan platform bagi para penyelidik dan sarjana di seluruh dunia untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini dimulakan dengan tiga siri “Master Class” yang disertai oleh 150 peserta dari dalam dan luar negara pada 13 September secara maya, yang menampilkan pakar-pakar akademik yang berkongsi ilmu tentang penyelidikan kualitatif, kuantitatif serta penulisan manuskrip untuk penerbitan dalam Jurnal Berimpak Tinggi. Seterusnya, sesi pembentangan sebanyak 70 kertas penyelidikan diadakan secara maya menerusi aplikasi Webex dan fizikal di IUS pada 14 September 2023.
Pada hari yang sama, Majlis Perasmian ICoPS 2023 diadakan di IUS dan ditayangkan secara langsung melalui Youtube rasmi IUS dan Facebook rasmi FSPPP. Dalam majlis tersebut, ucapan aluan telah disampaikan oleh Rektor IUS, Prof. Dr. Ahmet Yildirim. Untuk sesi Ucaptama I, TYT Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin, Duta Besar Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina, telah menyampaikan ucaptama beliau yang bertajuk “Malaysia Madani: The Impetus for Transformation”. Manakala untuk sesi Ucaptama II pula, Dekan Fakulti Pentadbiran Ekonomi dan Sains Sosial, IUS telah menyampaikan ucaptama yang bertajuk “The Prospects for Female Leadership and Public Policy-Making”. Majlis juga diserikan dengan ucapan Tetamu Istimewa ICoPS 2023 iaitu Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor yang seterusnya merasmikan Persidangan ICoPS 2023. Pada sebelah malam pula, pihak delegasi FSPPP, UiTM telah mengadakan Sesi Makan Malam Santai di Restoran Park Princeva, Sarajevo bersama-sama Naib Canselor UiTM dan Rektor dari beberapa universiti di Bosnia. Antara yang hadir adalah Prof. Dr. Rifat Škrijelj (Rektor University of Sarajevo (UNSA)), Prof. Dr Ahmet Yıldırım (Rektor IUS), Dr Emir Hadzikadunic (Penolong Profesor Sarajevo School of Science and Technology (SSST)), Prof. Emir Tahirovic (Dekan Fakulti Pentadbiran, UNSA) dan Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith (Dekan FSPPP, UiTM).
Pada 15 September 2023 pula, Majlis Perlancaran Buku yang bertajuk “A Multidimensional Study on Malaysia-Bosnia and Herzegovina”, telah diadakan di UNSA, Sarajevo. Majlis ini dihadiri oleh Rektor UNSA, Prof. Dr. Rifat Škrijelj bersama delegasi dari UNSA dan delagasi dari UiTM yang diketuai YBhg. Prof. Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor bersama Dekan dan warga FSPPP, UiTM. Dalam majlis tersebut, YBhg. Prof. Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor turut menyatakan bahawa penerbitan buku tersebut oleh UiTM Press adalah satu manifestasi kerjasama, pengantarabangsaan dan perkongsian dua negara dari dua benua yang berbeza, yang jelas menjadi simbol muhibah antara kedua-dua negara dan universiti. Pada sebelah malamnya pula, pihak Kedutaan Malaysia di Sarajevo telah mengadakan Networking Dinner bersama delegasi dari UiTM. Dalam majlis tersebut, YBhg. Prof. Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor telah menyempurnakan sesi penyerahan dua buah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara UiTM dan IUS, serta UiTM dan SSST.