Shah Alam, 20 September 2024 – Persidangan Antarabangsa ASEAN Council of Physical Education and Sport (ACPES) kali ke-10 telah berjaya dilaksanakan dari 18 hingga 20 September 2024 di Kompleks Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam. Acara ini merupakan anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM, dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, UiTM selaku penganjur bersama.
Persidangan ACPES 2024 dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi; Presiden ACPES, Prof. Madya Dr. Koh Koon Teck; serta Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin.
Persidangan selama tiga hari ini menampilkan pelbagai sesi penting, termasuk 132 pembentangan kertas penyelidikan, 27 pembentangan poster, serta sesi ucaptama daripada penceramah jemputan, di samping sesi plenari dan pembentangan dari institusi-institusi terkemuka antarabangsa. Persidangan ini telah menarik 293 penyertaan dari 10 negara, termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Filipina, Jepun, China, Korea, dan India, dengan 262 darinya adalah peserta antarabangsa.
Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, persidangan kali ini menerima sambutan luar biasa.
“Penganjuran ACPES 2024 menyaksikan penyertaan tertinggi, dengan hampir 300 peserta, di mana 80% darinya merupakan peserta antarabangsa. Keistimewaan persidangan ini terletak pada siri bengkel yang disediakan, serta pembentangan kertas kerja penyelidikan berimpak berkaitan pendidikan jasmani dan sukan yang dikendalikan oleh pakar dan sainstis sukan, serta delegasi dari rangkaian ACPES yang melibatkan 12 universiti dari ASEAN, China, Jepun, Korea dan India”.
Dalam menguruskan persidangan antarabangsa berskala besar, penganjur menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Timbalan Pengerusi ACPES 2024, Dr Ani Mazlina Dewi Mohamed berkata, cabaran ini telah diatasi hasil kerjasama pasukan penganjur yang bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran acara ini.
“Cabaran utama di dalam penganjuran persidangan ACPES 2024 kali ini adalah penyediaan tempat persidangan yang sesuai untuk jumlah peserta yang melebihi 200 orang. Ini terjadi kerana sambutan yang menggalakkan dari para peserta, sehinggakan para penganjur terpaksa menolak beberapa penyertaan kerana ingin memastikan keselesaan para peserta sepanjang persidangan berlangsung.”
Pengerusi ACPES 2024, Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor melihat penganjuran ini memberi peluang kepada para penyelidik di dalam menerokai bidang pendidikan jasmani dan sukan.
“Penganjuran 10th ACPES International Conference 2024 ini merupakan peluang terbaik kepada para pensyarah, penyelidik, pelajar pasca siswazah dan mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan jasmani dan sukan untuk berkongsi hasil penyelidikan dengan semua peserta. Ia juga memberi peluang yang lebih luas kepada semua peserta dalam menjalinkan hubungan kolaborasi dan kerjasama antara institusi.”
Ucapan penghargaan turut diberikan kepada penaja acara ini, iaitu Yakult, Herbalife, Decathlon, Lets Play Performance, dan Extravaganza Futsal Shop, atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi. Diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan pada anjuran di masa hadapan.