14 Mei 2023, AHAD – Program “AccEid Fitr” telah dilaksanakan oleh Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA), Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang. Program ini sebenarnya merupakan majlis sambutan hari raya Aidilfitri oleh seluruh warga fakulti termasuklah para pensyarah dan mahasiswa diploma perakaunan di UiTM Cawangan Pahang. Saudara Nazarul Azriel Mohd Jamal yang memegang tanggungjawab sebagai pengarah program telah berjaya merealisasikan program ini bersama-sama barisan jawatankuasa pelaksana.
Program tersebut berlangsung selama dua jam bermula jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari di Dewan Merpati. Tujuan jamuan ini diadakan adalah bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa disamping mengeratkan hubungan antara pensyarah dan mahasiswa Fakulti Perakaunan.
Program ini disertai oleh 10 orang pensyarah dari Fakulti Perakaunan, 2 orang dari Majlis Perwakilan Pelajar mewakili Fakulti Perakaunan dan kira-kira 400 orang pelajar diploma perakaunan dari bahagian 2,4 dan 6. Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, Prof. Madya Dr. Mohamad Azmi bin Nias Ahmad telah dijemput untuk menyampai kata-kata aluan dan seterusnya merasmikan majlis sambutan hari raya peringkat fakulti ini.
Majlis telah dikendali oleh dua orang pengacara dari kalangan pelajar bahagian 2 iaitu saudari Nirza Anis Hassan dan saudari Alya Najwa Alfian. Majlis juga berjalan dengan lancar dan dimeriahkan lagi dengan persembahan dendangan lagu raya yang disajikan oleh beberapa orang pelajar. Pelajar yang terlibat ialah Abdul Qawi Haziq Abdulhaq, Amir Fikri Noor Zamzury, Muhammad Hadif Adli Hafidzul, Nurlin Qairyna Nor Halim dan Megat Haikal Danial Eddie Eries. Mereka adalah pelajar dari bahagian 2 dan 6.
Ahli Jawatankuasa PERSIDA dengan kerjasama Puan Syahida Md. Zeni selaku penasihat merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pensyarah yang hadir dan turut sama memeriahkan majlis ini dan tidak lupa juga para pelajar yang sama-sama turut membantu dalam menjayakan majlis ini.