PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA: MENGHARGAI KEPELBAGAIAN

Perpaduan (ڤرڤادوا) menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud bergabung menjadi satu atau sepakat. Ia merupakan satu naratif yang seringkali diungkapkan terutama di bulan kemerdekaan ini. Perpaduan rakyat dalam sesebuah negara adalah tonggak penting dalam menentukan kejayaan dan kestabilan. Di Malaysia, sebagai sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai budaya dan etnik, perpaduan telah menjadi satu prinsip dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

Menelusuri sejarah penubuhan Malaysia (pada tahun 1963), ia merupakan peristiwa tentang penyatuan beberapa entiti utama di Semenanjung Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura. Penubuhan Malaysia tidak hanya berfokus pada aspek geografi, tetapi juga untuk mengiktiraf kepelbagaian budaya, bahasa dan agama. Langkah ini adalah bukti dan tekad negara ini dalam menghargai kepelbagaian dalam membina masyarakat yang bersatu padu.

Kepelbagaian kaum telah menjadi ciri unik di Malaysia. Dengan jumlah penduduk Malaysia seramai 32.7 juta (Jabatan Perangkaan Malaysia 2022), etnik utamanya terdiri dari Melayu, Cina, India dan suku asli di Sabah serta Sarawak, ini menunjukkan keharmonian budaya yang luar biasa. Meskipun dalam perbezaan tersebut, negara ini telah berhasil menjaga kesejahteraan dan saling menghormati sesama kaum. Pesta perayaan, festival kebudayaan, dan warisan adat resam diteruskan dari generasi ke generasi serta diraikan bersama-sama adalah bukti bagaimana kepelbagaian dapat menjadi nilai yang mampu menyatukan kita semua.

Justeru setiap rakyat Malaysia memegang peranan penting dalam memupuk nilai perpaduan. Pendidikan adalah antara komponen utama dalam membentuk sikap toleransi dan penghargaan terhadap kepelbagaian. Sekolah-sekolah merupakan platform awal dalam menyatukan perbezaan, menanam nilai perpaduan dan saling menghormati. Jika diimbau zaman persekolahan dahulu, sudah pasti ramai diantara kita yang teringat bagaimana kita bersama-sama bersukan dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum dengan rakan-rakan dari pelbagai bangsa serta makan bersama di kantin sekolah. Jadi sepatutnya tidak canggung untuk kita meneruskan aktiviti bersama pelbagai kaum ketika telah dewasa. Program-program dalam komuniti seperti gotong-royong, senaman, pertandingan-pertandingan, aktiviti kebudayaan dan lain-lain juga dapat membentuk nilai perpaduan dalam dalam rakyat Malaysia.

Di peringkat kepimpinan tertinggi negara, Yang Di-Pertuan Agong dapat dilihat sebagai lambang kesatuan dan perpaduan negara, YDPA juga memegang peranan penting dalam memupuk perpaduan rakyat Malaysia. Dengan kedudukan yang dihormati dan diakui oleh semua lapisan masyarakat, Yang Di-Pertuan Agong memiliki kapasiti untuk merentasi pelbagai budaya dan agama. Kehadiran dan ucapan YDPA dalam upacara rasmi, perayaan keagamaan, dan acara-acara sosial adalah manifestasi simbolik kepada perpaduan di dalam negara ini.

Kesimpulannya, perpaduan rakyat Malaysia adalah suatu pencapaian yang patut dicontohi oleh dunia. Dengan mengiktiraf sejarah penubuhan negara, menerima kepelbagaian kaum, dan peranan semua pihak dalam memupuk perpaduan, rakyat Malaysia telah membangun bersama untuk membina landasan yang kukuh bagi menjamin masyarakat yang harmoni. Sementara itu, komitmen diberikan oleh Yang Di-Pertuan Agong turut memberikan semangat kepada negara ini untuk terus memelihara kebersamaan dalam perbezaan. Kepelbagaian yang dihargai dan dijaga dengan bijak adalah ciri unik negara Malaysia yang menjadikan negara ini sebagai contoh bagi masyarakat berbilang bangsa di seluruh dunia.

“Semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum adalah asas kepada kestabilan negara. Kerana itu, keutuhan keharmonian menerusi gagasan perpaduan yang berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan hendaklah dijadikan agenda utama demi nusa tercinta” Titah YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pembukaan sidang penggal ke-2 Parlimen ke-15 pada 13 Februari 2023