22 Mei 2024 – Dalam semangat memupuk ukhuwah dan meningkatkan kemahiran dalam sukan bola tampar, Kelab URVC,UiTM Kampus Raub baru-baru ini telah menyertai siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan komuniti setempat di daerah Bentong dan Raub. Perlawanan ini bukan sekadar pertemuan untuk bersaing, tetapi juga sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan dan kesejahteraan yang baik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 3 (SDG 3).
Perlawanan ini melibatkan enam pasukan dari komuniti setempat termasuk pasukan Bentong 1,Bentong 2, Pejabat Kesihatan Daerah Bentong,Lurah Bilut, Belia Raub (RVT) dan juga pasukan ReMIX VC.UiTM menghantar 4 pasukan iaitu 2 pasukan siswi dan 2 pasukan siswa. Pasukan-pasukan tersebut diwakili oleh ahli kelab URVC yang terdiri daripada pemain-pemain berbakat dari pelbagai fakulti di Kampus UiTM Raub.
Acara ini bukan hanya tentang kemenangan, tetapi lebih kepada mengeratkan hubungan dan bertukar pengalaman antara pemain universiti dan komuniti setempat. Antara objektif perlawanan persahabatan ini adalah bertujuan untuk:
- Menggalakkan gaya hidup sihat: melalui sukan bola tampar, perlawanan ini mengajak masyarakat untuk lebih aktif secara fizikal, yang merupakan asas kepada gaya hidup sihat.
- Memperkuatkan hubungan komuniti: Sukan sering menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat. Perlawanan ini diharapkan dapat mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara UiTM dan komuniti setempat.
- Pendidikan tentang Kesihatan dan Kesejahteraan: Melalui aktiviti ini mampu untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal sebagai sebahagian dari kesejahteraan umum.
Perlawanan bertempat di Dewan Komuniti Felda Mempaga Bentong, Pahang menampilkan pertandingan yang sengit namun penuh dengan semangat kesukanan yang tinggi. Walaupun setiap pasukan berusaha untuk menunjukkan yang terbaik, suasana keakraban dan kegembiraan tetap menjadi intipati utama perlawanan persahabatan ini. Selain itu juga program seperti ini membuktikan bahawa pentingnya kegiatan seperti ini yang bukan sahaja mendukung pembangunan fizikal tetapi juga mental dan sosial komuniti.
Perlawanan persahabatan bola tampar antara Kelab URVC UiTM Kampus Raub dan komuniti setempat adalah contoh bagaimana sukan boleh menjadi alat yang berkesan dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan, serta menggalakkan nilai-nilai penting seperti kerjasama dan semangat kesukanan. Kegiatan ini bukan hanya sekadar menghiburkan tetapi juga mendidik, menjadikan ia langkah yang signifikan menuju pencapaian SDG 3.