Perlawanan Badminton Persahabatan Antara Fakulti : Merapatkan Hubungan Antara Staf

26 September 2024 – Perlawanan badminton persahabatan antara Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Serbaguna, UiTM Kampus Puncak Alam. Tujuan utama perlawanan ini adalah untuk merapatkan hubungan antara staf dari kedua-dua fakulti, selain mempromosikan gaya hidup sihat dan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga universiti. Pertandingan yang berlangsung menampilkan format beregu lelaki, beregu wanita, serta beregu campuran, dan disertai oleh 28 peserta yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan pentadbiran.

Perlawanan berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan persaingan sihat.  Fakulti Pengurusan dan Perniagaan telah berjaya menewaskan Fakulti Sains Kesihatan dengan agregat tipis 4-3. Sifat kompetitif yang tinggi dapat dilihat dalam kalangan peserta, namun, suasana kekal mesra dan penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir.

Secara keseluruhannya, perlawanan badminton persahabatan antara fakulti ini bukan sahaja menonjolkan bakat-bakat dalam sukan badminton, tetapi juga berjaya mewujudkan ikatan yang lebih erat antara pensyarah dan staf. Ia menjadi platform penting untuk menggalakkan perpaduan, kesihatan fizikal, dan semangat kerjasama dalam kalangan warga universiti. Selain itu, program sebegini juga dapat memupuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan staf UiTM bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka, serta meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja di institusi ini.

Penganjur berharap acara ini dapat diadakan secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan di antara fakulti, sambil memupuk nilai-nilai kesukanan yang positif dalam kalangan staf.