Pengajaran dan pembelajaran Abad ke 21 menekankan empat perkara utama iaitu komunikasi, pemikiran kritikal, kolaborasi dan kreativiti. Sejajar dengan matlamat UiTM dalam mengoptimumkan sumber yang sedia ada, pihak Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah melaksanakan Pengajaran Kolaboratif bagi subjek ACC116: Introduction to Cost Accounting.
Sesi ini melibatkan kolaborasi antara pensyarah perakaunan UiTM Cawangan Pahang dan juga pensyarah Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan. Pilihan model pelaksanaan bagi pengajaran kolaboratif ini adalah menggunakan model dua (2) iaitu kolaborasi dalam menyampaikan pengajaran secara agihan tajuk-tajuk yang terdapat dalam kursus ini.
Puan Nurul Afzan Najid (UiTM Kampus Raub) selaku ketua projek telah diberi tanggungjawab untuk menyampaikan tajuk yang berkaitan dengan Chapter 3: Labour dan Puan Azilawati Abdullah (UiTM Kampus Machang) telah berkongsi pengajaran berkaitan dengan Chapter 5: Costing Method.
Pengajaran kolaboratif ini telah dijalankan secara atas talian dan mendapat maklumbalas yang sangat baik daripada para pelajar. Sepanjang pengajaran berlangsung pensyarah akan berkongsi pengajaran yang berkaitan dan juga melibatkan penggunaan soalan-soalan latihan untuk memastikan para pelajar memahami kandungan tajuk yang telah disampaikan.
Hasil daripada kolaborasi ini para pelajar lebih memahami tajuk-tajuk yang disampaikan dan mereka merasakan bahawa kaedah ini adalah sangat bagus dimana mereka dapat merasai cara pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada pensyarah yang sedia ada. Malah mereka mampu berkomunikasi dengan pelajar daripada kampus lain dan ini akan menyumbang kepada kualiti pembelajaran mereka.
Selain daripada itu pensyarah yang terlibat dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti dan kuantiti perkhidmatan yang baik sekaligus dapat menyumbang kepada visi dan misi UiTM yang akan bersaing secara lebih kompetitif. Sehubungan dengan itu, perlaksanaan Pengajaran Kolaborasi ini perlu diperluaskan lagi dan melibatkan lebih ramai lagi staf akademik. Kolaborasi bukan hanya terhad dikalangan pensyarah sahaja tetapi ianya juga boleh melibatkan pihak-pihak industri yang mampu menambah baik lagi mutu kaedah pengajaran dan pembelajaran serta memberi impak kepada kesediaan para pelajar.