Perkukuh Kesedaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Anjuran FSK UiTM Terengganu

BUKIT BESI, 19 DISEMBER 2024 – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Bukit Besi, telah berjaya menganjurkan sesi ceramah bertajuk “Understanding the OSHA 2022 Amendment: A Safety Revolution” pada 19 Disember 2024. Program ini diadakan di Dewan Perak, Kampus Bukit Besi, dan dihadiri oleh 130 pelajar daripada Program Diploma Hygiene Industri. Ceramah ini menampilkan En. Mohd Faiss bin Juhari, Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Terengganu, sebagai penceramah utama.

Fokus ceramah diberikan kepada pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 (OSHA 2022), yang membawa perubahan penting dalam usaha memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. En. Mohd Faiss berkongsi pandangan mendalam mengenai langkah-langkah baharu yang diperkenalkan dalam akta ini, termasuk peranan dan tanggungjawab majikan serta pekerja dalam memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat dan produktif. Para pelajar turut didedahkan kepada cabaran pelaksanaan akta ini dalam pelbagai sektor industri melalui sesi interaktif yang diadakan.

Program ini, yang dikaitkan dengan kursus IHS122: Industrial Hygiene Laws, Standards & Guidelines, diharap dapat memperluas pemahaman pelajar terhadap aspek perundangan keselamatan pekerjaan serta menggalakkan pengamalan budaya keselamatan di tempat kerja. Diharapkan sesi seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

(Wan Farahiyah Wan Kamarudin, Northaqifah Hasna Mohamed Khir)