05 Jun 2024 – Satu sesi Pengajaran Kolaboratif anjuran Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau dengan menjemput Dr. Mohd Shahril Nizam Md Radzi, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi menyampaikan perkongsian bertajuk “Understanding Employment Law in Malaysia”.
Pelajar yang terlibat dalam sesi ini adalah pelajar yang mengambil subjek kod LAW240 iaitu Pengenalan kepada Undang-Undang Komersial dan skop perkongsian adalah merangkumi salah satu topik dalam sukatan subjek ini.
Sesi satu jam yang bermula pada jam 8 malam menggunakan platform Google Meet adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai Undang-Undang Pekerjaan. Antara isu undang-undang terkini yang diterangkan oleh Dr. Mohd Shahril Nizam adalah mengenai Undang-Undang Pekerjaan bagi golongan pekerja gig seperti pemandu Grab/Foodpanda. Pekerjaan gig merupakan pekerjaan yang sering dilakukan oleh anak muda masa kini sama ada sementara atau sepenuh masa.
Sepanjang sesi berlangsung, pelbagai soalan telah diajukan oleh para pelajar khususnya berkaitan Undang-Undang Pekerjaan terutama berkenaan pelajar yang menjalani latihan amali dan prosidur yang perlu dilakukan sekiranya mereka dipecat tanpa notis dan pampasan sewajarnya. Dr. Mohd Shahril Nizam tidak lokek berkongsi ilmu mengenai prosidur yang perlu dilaksanakan sekiranya pemecatan dilakukan tanpa pampasan sewajarnya. Para pelajar turut didedahkan dengan fungsi beberapa badan di Malaysia seperti Jabatan Tenaga Kerja dalam membantu memudahcara urusan berkaitan Undang-Undang Pekerjaan.
Dr. Mohd Shahril Nizam turut menerangkan perkara-perkara asas dalam Undang-Undang Pekerjaan seperti jenis-jenis cuti yang tersedia kepada pekerja-pekerja di Malaysia, pindaan terkini Akta Pekerjaan yang mewujudkan cuti paterniti kepada golongan bapa dan sebagainya.
Pada peringkat awal, tidak ramai yang ingin mengajukan soalan. Hal ini mungkin kerana mereka masih belum faham akan relevensi Undang-Undang Pekerjaan dalam kehidupan seharian. Bermula di pertengahan sesi, semakin ramai bertanyakan pelbagai soalan berkaitan Undang-Undang Pekerjaan selari dengan perkongsian yang dibuat menunjukkan para pelajar semakin faham akan kepentingan mengetahui ilmu Undang-Undang Pekerjaan.
Sesi pengajaran kolaboratif ini yang dihadiri oleh pelajar dan pensyarah daripada dua kampus cawangan telah berakhir pada jam 9 malam. Program melalui jalinan antara Institusi sebegini mampu memberi impak yang positif kepada para pelajar dan pensyarah terutama untuk berfikir secara lebih mendalam dan berkongsi maklumat terkini. Selain itu, sesi perkongsian ini turut berperanan dalam mempersiapkan para pelajar untuk berdepan alam pekerjaan yang bakal mereka hadapi tidak lama lagi.