Pahang, 11 September 2024 – Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang (UCPh), telah menganjurkan satu program perkongsian ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bertajuk “Perkongsian Ilmu STEM dalam Proses Pembuatan Produk Biokomposit” bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya (SEDAYA). Program ini berlangsung di Bengkel Perkayuan UCPh dengan kehadiran seramai 32 orang pelajar dan 2 orang guru pengiring.
Penceramah utama, Dr. Lee Seng Hua, pakar dalam pembuatan produk biokomposit, berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai teknologi terkini yang melibatkan penggunaan sumber kayu dan bahan bukan kayu. Kata alu-aluan disampaikan oleh Koordinator Prasiswazah Pusat Pengajian Industri Perkayuan, Dr. Noorshashilawati Azura Mohamad dengan disertai oleh barisan fasilitator dan AJK pelaksana dari PPIP.
Program ini bertujuan memperkenalkan konsep-konsep STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) kepada pelajar sekolah menengah melalui proses pembuatan produk biokomposit. Dalam bengkel ini, pelajar berpeluang melihat dan menghasilkan produk biokomposit menggunakan gabungan bahan-bahan seperti kayu muda, habuk kayu, serta bahan sisa pertanian. Aktiviti hands-on ini membuka minda pelajar untuk memahami asas sains dan teknologi serta menggalakkan minat mereka dalam bidang STEM.
Program ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan pelajar berkemahiran dan berpotensi untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Bagi pelajar SMKDJ, program ini merupakan pendedahan pertama mereka kepada dunia inovasi dalam pembuatan produk biokomposit, yang berperanan penting dalam meningkatkan kreativiti dan kemahiran berfikir kritis.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai pengaplikasian STEM dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam pembuatan produk biokomposit yang semakin relevan dalam dunia industri moden.
Objektif program ini adalah perkongsian kepakaran PPIP mengenai penghasilan produk biokomposit. Menyemai minat terhadap sains melalui pembuatan produk biokomposit. Ia juga boleh meningkatkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam melakar idea. Di samping itu juga, penghasilan produk biokomposit boleh dijadikan contoh di sekolah dan dapat melahirkan murid yang berketerampilan dalam bidang teknologi. UiTM boleh menyediakan platform untuk berkongsi maklumat dan penyelidikan mengenai produk biokomposit. Program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Good Health and Well-Being dan SDG 4: Quality Education.
Program ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai minat pelajar terhadap STEM dan memperkenalkan mereka kepada dunia pembuatan biokomposit, satu langkah positif dalam usaha UCPh membudayakan ilmu inovasi perkayuan dalam kalangan pelajar sekolah SEDAYA.
Penulis bersama:
Siti Noorbaini Sarmin, Lee Seng Hua, Zaimatul Aqmar Abdullah, Noorshashillawati Azura Mohamad