Perkongsian Bermanfaat oleh Pustaka Raja Tun Uda Bersama Pelajar Senibina Dalaman UiTM

 “Selangkah ke Perpustakaan Sejuta Senyuman, Sekali Klik Sejuta Maklumat.”

Begitulah slogan rasmi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), bersesuaian dengan visi mereka dalam ‘mejadi pusat pembelajaran sepanjang hayat yang dapat membina kekuatan spiritual, intelektual dan emosi.’ Selain daripada itu, PPAS juga bermatlamat untuk ‘memperkaya dan memperkasa masyarakat melalui perkhidmatan perpustakaan yang relevan, mudah capai dan berkualiti tinggi’ dan ‘membangunkan prasarana perpustakaan yang lengkap, selesa, kondusif serta terkini bagi memenuhi keperluan masyarakat.’

Visi dan misi tersebut dapat dilihat daripada prasarana dan persekitaran kondusif yang tersedia di Pustaka Raja Tun Uda, yang juga merangkap cawangan utama dan pusat pentadbiran PPAS. Pustaka Raja Tun Uda ialah bangunan ketiga Perpustakaan Awam Selangor dan terletak berhampiran kawasan kelab golf yang berprestij di Shah Alam. Bangunan dan tapak Pustaka Raja Tun Uda merupakan penganugerahan oleh DYMM Sultan Selangor sebagai mercu tanda pengisytiharan Selangor Maju pada tahun 2005.

Berdasarkan ruang dan kemudahan berkualiti yang tersedia di Pustaka Raja Tun Uda, kursus Senibina Dalaman II dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah memilih perpustakaan ini sebagai kajian kes bagi salah satu projek yang dijalankan pada sesi pertama tahun 2020. Seramai 53 orang pelajar dari kursus tersebut berserta dua pensyarah dari Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD) telah disambut baik oleh pihak pengurusan Pustaka Raja Tun Uda semasa lawatan akademik yang dijalankan.

Encik Zafrullah bin Aris, selaku Ketua Unit Korporat PPAS, memberikan sokongan terbaik dan memenuhi keperluan pelajar serta pensyarah sepanjang lawatan. Satu sesi taklimat juga telah diatur oleh beliau, di mana Puan Juliana Es binti Mohd Munawir yang merupakan Ketua Unit Kualiti PPAS telah membentangkan hasil projek ‘rebranding’ PPAS kepada para pelajar. Projek-projek ‘rebranding’ yang telah dilaksanakan oleh PPAS ke atas beberapa perpustakaan di sekitar negeri Selangor telah terbukti berjaya berdasarkan peningkatan kadar pengunjung secara mendadak setelah ‘rebranding’ selesai dibuat.

Perkongsian ini amat bermanfaat kepada para pelajar senibina dalaman di mana mereka dapat mengetahui elemen-elemen penting dalam keperluan sesebuah perpustakaan berdasarkan keperluan pengguna. Hasrat PPAS untuk ‘membantu Kerajaan Negeri mengurangkan kadar jenayah dan gejala sosial’ serta ‘membantu masyarakat mencapai keperluan asas untuk bahagia, melalui pelbagai kategori kemudahan’ juga dapat direalisasikan melalui projek-projek ‘rebranding’ yang sedemikian.

Melalui lawatan akademik di Pustaka Raja Tun Uda ini, para pelajar dapat memahami kepentingan dan peranan perpustakaan dalam kemajuan sejagat. Perpustakaan bukan sahaja tempat untuk membuat rujukan ilmiah, malah boleh dijadikan sebagai tempat perjumpaan bagi tujuan perniagaan atau aktiviti sosial; sebagai pusat rekreasi dan aktiviti masa lapang; dan sebagai pusat pembangunan manusia. Secara menyeluruh, perpustakaan memainkan peranan utama dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bagi generasi kini dan masa hadapan.

0
0