Perkasa bidang angkasa negara

DUA pelajar UiTM, Muhammad Hasif Azami (kanan) dan Syazana Basyirah Mohamad Zaki (kiri) bersama model satelit Nano UiTMSat-1 yang berjaya dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), baru-baru ini.i

Pelancaran UiTMSat-1 itu merupakan satu titik tolak dalam memperkasa penyelidikan berkaitan bidang angkasa di negara ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, pelancaran UiTMSat-1 membuktikan penyelidikan oleh saintis tempatan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar UiTM juga berkemampuan menjalankan penyelidikan di angkasa lepas.

SYAZANA BASYIRAH MOHAMAD ZAKI (dua dari kanan) menerangkan fungsi dan peranan satelit Nano UiTMSat-1 kepada penyelidik-penyelidik KyuTech, Jepun.
Siti Hamisah menjelaskan, kejayaan itu merintis usaha Malaysia dan UiTM dalam bidang sains angkasa ke arah perkembangan bidang sains dan teknologi dalam kehidupan seharian dan industri dalam menggerakkan negara ke arah persaingan global.

“Taniah diucapkan kepada pelajar UiTM, Muhammad Hasif Azami dan Syazana Basyirah Mohamad Zaki atas kejayaan mereka itu,”katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hasif berkata, melalui UiTMSat-1 data yang diperoleh daripada satelit itu akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan kajian dan penyelidikan.

“Satelit ini mempunyai enam misi antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio. Selepas setengah jam satelit berada di ruang angkasa, kita sudah boleh mengumpul data-data yang diperlukan selaras dengan misi satelit itu,” katanya.

 

Artikel berkaitan: UiTMSat-1 kejayaan aeroangkasa UiTM

 

Oleh: Mohd. Saiful Mohd. Sahak
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/perkasa-bidang-angkasa-negara-1.754087#ixzz5SADbCeQ1 
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

0
0