Perkampungan Ilmu SPM: Langkah Awal Ke Puncak Menara Gading

SHAH ALAM, 11 OGOS 2024 – Institut Pemimpin Muda (IPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Unit Kurikulum SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, telah menganjurkan Program Perkampungan Ilmu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 9 hingga 11 Ogos 2024 di Dewan Platinum Melati, UiTM Shah Alam. Program ini menyokong salah satu Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) iaitu Pendidikan Berkualiti.

Objektif utama penganjuran Program Perkampungan Ilmu ini adalah untuk meningkatkan prestasi keputusan peperiksaan SPM dalam kalangan calon sekolah tersebut. Pihak sekolah bersama Institut Pemimpin Muda telah bekerjasama erat dalam melaksanakan program ini, yang bukan sahaja memberikan pendedahan kepada calon mengenai teknik menjawab soalan dan motivasi menjelang peperiksaan, tetapi juga memberikan gambaran awal mengenai kehidupan di alam universiti.

Selain itu, para pelajar juga telah terlibat dalam bengkel-bengkel mata pelajaran SPM sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan pada Disember 2024. Antara pengisian Program Perkampungan Ilmu ini termasuk Slot Selangkah ke UiTM, yang memberi panduan mengenai laluan pendidikan selepas SPM, serta Slot Perkongsian bersama Alumni UiTM yang disampaikan oleh Encik Mohammad Affifi Bin Mohammad Aris, bertujuan menyuntik semangat dan membentuk aspirasi selepas SPM.

Program ini turut memberi peluang kepada para pelajar SMK Bandar Baru Sultan Suleiman untuk merasai pengalaman awal kehidupan di universiti. Mereka bukan sahaja belajar di kampus tetapi juga berkesempatan untuk bermalam dan menjalani kehidupan seperti seorang pelajar universiti di sini.

Di akhir program ini, para pelajar menyedari bahawa kejayaan tidak bergantung kepada latar belakang pendidikan, keluarga, atau material, tetapi bermula daripada usaha individu itu sendiri. Institut Pemimpin Muda UiTM amat berbesar hati dapat menganjurkan program ini dalam usaha bersama membentuk kemenjadian murid yang holistik, selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.