KOTA KINABALU – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Sabah Sesi 2021/2022 telah mengadakan perjumpaan bersama pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau pada 10 Mac 2022, jam 10.15 pagi. Sesi perjumpaan selama lebih kurang sejam tersebut diadakan secara atas talian melalui platform Google Meet bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan MPP sesi 2021/2022 yang telah dipilih pada 22 Disember 2021.
Antara barisan Exco MPP yang hadir ialah Saudara Shahirul Azri Aman Shah, Saudari Nurfazlyana Laide, Saudari Nur Fatihah Azhan Borhan, Saudara Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah, Saudari Emeera Aaliyah Yusmady dan Saudara Mohd. Hafiz Bujang Kalanah (Sekretariat). Manakala pihak pengurusan kampus Tawau dihadiri oleh Haji Muliyadi Haji Guliling, Koordinator Kampus dan Encik Asmad Mohd Noor, Pegawai Eksekutif.
Saudara Shahirul Azri Aman Shah selaku Yang Dipertua telah memulakan sesi pertemuan dengan memperkenalkan barisan kepimpinan MPP. Selain itu, Saudara Shahirul Azri juga membentangkan perancangan MPP yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022 yang memfokuskan kepada kecekapan tadbir urus ke arah pemerkasaan pemimpin pelajar, mempertingkatkan pembangunan dan perkembangan pelajar yang seimbang serta memperkukuhkan jalinan kerjasama bersama komuniti dan industri.
Dalam nada yang serupa, Haji Muliyadi mengingatkan semua barisan Exco MPP agar bekerja secara berpasukan dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk pelajar UiTM. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Saudara Shahirul Azri dan barisan kepimpinan di atas pelantikan sebagai Yang Dipertua dan Exco MPP sesi 2021/2022.
Kemudiannya, sesi diteruskan dengan soal jawab di antara barisan Exco MPP dan Koordinator Kampus berkaitan isu penglibatan pelajar Pra Diploma, kemasukan ke kolej kediaman dan perancangan penawaran program Diploma di kampus Tawau. Sesi perjumpaan berakhir pada jam 11.10 pagi.
Untuk rekod, program kunjungan hormat barisan kepimpinan MPP ke semua Bahagian dan Unit Pengurusan yang ada di UiTM Cawangan Sabah telah bermula pada 7 Mac sehingga 1 April 2022.