Arau, 8 November 2024 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) menerusi Bahagian Pentadbiran telah mengadakan julung kalinya Perhimpunan Bulanan Rektor 1.0 di perkarangan parkir Bangunan Pentadiran.
YBrs Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata tujuan penganjuran perhimpunan ini adalah untuk menyampaikan amanat, peringatan, maklumat terkini atau perkembangan yang berkaitan dengan aktiviti dan kejayaan kampus kepada warganya.
Sementara itu, beliau juga turut mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada warga atas pengiktirafan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Cawangan Perlis sebagai salah satu Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia.
Program yang berjalan selama 45 minit diisi dengan sesi bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh Encik Masrul Helmi Mohsin, Encik Azam Azaham Ahmad, Encik Rosmanizan Abu Seman dan Encik Nasir Bakar.
Program Perhimpunan Bulanan Rektor diakhiri dengan bacaan ummul kitab al-Fatihah kepada allahyarhamah Norwaziah Mahmud (Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik) yang telah meninggal dunia pada 30 Oktober 2024; pemberitahuan penempatan staf baharu, staf bertukar kampus, dan staf bersara pilihan dan wajib.
Impak program ini kepada UiTM ialah melahirkan warga UiTM yang berdisiplin, berhemah tinggi, bertanggungjawab dan cakna kepada isu semasa sejajar dengan aspirasi ESI iaitu akronim bagi Excellence, Synergy & Integrity serta nilai I-DART iaitu akronim bagi Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab yang dianjurkan oleh UiTM.
Turut hadir ke program ini ialah YBrs Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof Madya Dr Ahmad Fikri Mohd Kassim; YBrs barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri, para pentadbir akademik dan warga UiTM Cawangan Perlis.