Ruang dan peluang potensi kolaborasi dua hala bersama universiti antarabangsa terus terbuka luas untuk Fakulti Pendidikan pada tahun 2021. Selepas sesi ramah mesra bersama Tamilnadu Teachers Education University (TNTEU) pada awal Januari lalu, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor sekali lagi mengadakan majlis yang sama dengan Universitas Negeri Jakarta (UNJ). Majlis meet and greet yang berlangsung selama dua jam ini telah diadakan menerusi pelantar Google Meet.
Sesi ramah mesra dan perbincangan dua hala ini telah dihadiri oleh Pengurusan Kanan Fakulti Pendidikan: YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan; Dr. Hamimah Hashim, Timbalan Dekan Akademik; Dr. Zarizi Ab. Rahman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dr. Mohd Khairezan Rahmat, Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan dan Industri (PJI). Turut menghadiri ialah Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor UiTM Cawangan Selangor selaku Pegawai Tangungjawab (PTJ) kolaborasi UNJ, bersama Dr. Norhayati Yusof, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan. Selain itu, sesi turut dihadiri oleh Ketua-ketua Pusat Pengajian, Koordinator Program, termasuklah Dr. Khadijah Said Hashim, Pegawai Perhubungan Office of International Affairs (OIA); Puan Zuraimi Zakaria, Penyelaras Unit Komunikasi Korporat Fakulti Pendidikan, dan Puan Zulfa Zainal Abidin, Penolong Pendaftar (Akademik dan PJI) Fakulti Pendidikan. Manakala, pihak UNJ telah menghantar enam orang wakil dalam pertemuan maya ini yang terdiri daripada Dr. Totok Bintoro, selaku wakil Rektor IV Bidang Perencanaan dan Kerjasama; Dr. Ari Saptono, Dekan Fakultas Ekonomi; Dr. Liliana Muliastuti, Dekan Fakultas Bahasa dan Seni; dan Dr. Syamsi Setadi selaku Timbalan Dekan 3, Fakultas Bahasa dan Seni; selain Dr. Aprina Murwanti dan Ibu Darmma Rika Swararinda.
Perbincangan telah dimulakan dengan sesi suai kenal di antara wakil-wakil daripada kedua-dua institusi. Kemudian, Dr Khadijah selaku pengerusi majlis telah menjemput wakil UNJ untuk memulakan perbincangan ini dengan berkongsi secara ringkas pengenalan latarbelakang UNJ kepada wakil-wakil daripada Fakulti Pendidikan. UNJ menyampaikan hasrat mereka untuk jalinan kolaborasi dua hala meliputi fakulti-fakulti lain di UNJ termasuk Fakultas Ekonomi dan Fakultas Bahasa dan Seni.
Perbincangan diteruskan dengan pembentangan ringkas dan slaid oleh Dekan Fakulti Pendidikan untuk memperkenalkan program di fakulti dan potensi kolaborasi dua hala yang menjadi tumpuan pertemuan maya kali ini. Antara intipati signifikan yang dapat dirumuskan daripada perbincangan ini adalah usahasama untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi potensi kajian bersama, pertukaran pelajar dan pensyarah, penyeliaan pelajar sarjana khususnya pengajian doktor falsafah, penulisan jurnal dan juga sesi webinar dalam bidang pendidikan dan bidang khusus yang lain untuk manfaat bersama.
Di akhir pertemuan dan perbincangan bersama UNJ, beberapa kata putus telah dicapai dan ianya meampakkan hasil yang positif dan memberangsangkan. Prof. Madya Dr. Badrul dan Dr Norhayati selaku PTJ akan terus mengadakan komunikasi susulan untuk memastikan memorandum persefahaman (MoU) antara dua buah insititusi ini terlaksana dengan kadar segera.