Perbincangan Mendalam Isu Etika IT di Webinar UiTM Terima Sambutan Positif

Shah Alam, 26 October 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) baru-baru ini telah menganjurkan webinar antarabangsa bertajuk “Isu Etika IT: Perspektif dan Realiti”. Program ini merupakan sebahagian daripada Program Pembelajaran Perkhidmatan Malaysia Universiti untuk Masyarakat (SULAM), telah menarik lebih 130 peserta yang menyertai secara maya melalui Google Meet dan YouTube.

Webinar telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Prof. Ts. Dr. Hj. Wan Abdul Rahim Wan Mohd Isa, selaku Dekan Akademik dan Antarabangsa KPPIM. Di dalam ucapannya, beliau telah menekankan keperluan mendesak untuk menangani isu etika IT dalam landskap digital yang berkembang pesat. Beliau menggariskan kerumitan dalam membuat keputusan beretika berkaitan teknologi dan menekankan pentingnya integriti serta keterangkuman dalam penerimaan teknologi. Beliau turut menggalakkan para pelajar untuk terlibat secara aktif dalam mempertimbangkan implikasi etika bagi teknologi yang sedang berkembang seperti kecerdasan buatan (AI), privasi data, dan keselamatan siber.

Webinar yang dianjurkan menampilkan pembentangan yang sangat bermaklumat daripada siswazah-siswazah UiTM. Nur Nadhirah Peer Mohamed menyampai ceramah bertajuk “Jenayah Siber dan Penggodaman Etika” yang membincangkan peranan penting penggodaman etika dalam mengenal pasti kelemahan keselamatan sambil memastikan pematuhan kepada garis panduan undang-undang dan etika. Mohammad Fikri Izzan Mohd Amin pula meneroka “Kesan AI terhadap Kreativiti dan Keaslian Pelajar,” dan Sti Aishah Ahmad mengajak hadirin berfikir implikasi media sosial melalu itajuk “Pencipta Media Sosial: Membentuk Realiti atau Menjual Ilusi?”.

Webinar ini telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada para peserta yang memuji kandungan yang jelas, relevan, dan merangsang pemikiran. Ramai peserta menyatakan minat yang mendalam untuk meneroka dimensi etika dalam bidang AI dan jenayah siber, dengan sesi penggodaman etika khususnya mendapat pujian kerana pendekatannya yang menarik dan penuh maklumat.

 

Penulis: Sofea Hani Sharifudin, Adriana Syafiqa Khairul Anuar dan Vivi Mari