Perasmian Pameran “Mapping Sarawak to the World, Jakarta”

Pada 15 Ogos 2024- Satu pameran seni “Mapping Sarawak to the World, Jakarta” telah dirasmikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh H.E. Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin, Duta Besar Malaysia di Indonesia, dan diiringi oleh Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, Pengarah Malaysia Education juga Penasihat Menteri Kedutaan Malaysia Jakarta, serta kakitangan Kedutaan Malaysia Jakarta. Pameran ini merupakan kolaborasi bersama di antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, Sarawak Artist Society (SAS) dan Education Malaysia Indonesia yang telah dijalankan sejak bulan Mei 2024. Pameran pertama telah dijalankan dengan jayanya bersama pihak Universitas Trisakti, Indonesia dan diikuti dengan pameran di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta pada sepanjang bulan Ogos 2024 ini.

Pameran ini berlangsung bersempena dengan Bulan Kemerdekaan Malaysia di ruang pameran lobi utama Kedutaan Malaysia Jakarta dan menampilkan 13 karya seni yang dihasilkan oleh gabungan artis dari Sarawak Artist Society (SAS), pensyarah dan pelajar UiTM Cawangan Sarawak. Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni Lukis Seni Reka Seni Bina Perancangan dan Ukur (SSSPU) Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak di bawah pengelolaan Sr. Dr. Asmah Alia Mohamad Bohari selaku ketua pusat pengajian dan ketua projek. Wakil pensyarah dari UiTM Cawangan Sarawak terlibat adalah termasuk Cik Ruth Lua, Dr. Muhamad Hafiz Bin Hassan, En. Mohd Asraf Ayob, Cik Atiqah Husaini dan Encik Clement Jimel.

Pameran ini merupakan inisiatif untuk menghubungkan Sarawak dengan pentas global, mempamerkan kreativiti dan naratif artis tempatan serta bakat yang sedang berkembang. Ia memberi peluang kepada artis-artis ini untuk berkongsi inspirasi mereka dengan khalayak yang lebih luas. Pameran ini bukan sekadar mempamerkan karya seni tetapi juga menjalin hubungan antara dua budaya yang berbeza, iaitu Sarawak yang terkenal dengan keramahan dan budaya tradisinya serta Jakarta yang sentiasa menghargai dan memelihara adat dan budaya uniknya. Program “Mapping Sarawak to the World” adalah usaha berterusan untuk menonjolkan Sarawak di pentas dunia, memperlihatkan pencapaian yang telah diraih di peringkat global dan mengukuhkan kerjasama antara pengamal seni dan akademik dari Sarawak. Program ini mendapat tajaan dari Geran Acara sebanyak RM50,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak. Pameran di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta merupakan penutup untuk program Mapping Sarawak to the World, Jakarta Series untuk tahun 2024 ini.