KOTA KINABALU, 17 Julai 2024 – Seramai 23 pelajar dari Kolej Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah telah berjaya membuka kedai CoSA Techwork, sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan dan produk teknologi, dengan bimbingan dan kerjasama daripada Koordinator keusahawanan Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM Cawangan Sabah, Encik Mohammad Firdaus Mohamad.
Majlis perasmian yang berlangsung telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin sempena majlis jelajah kayuhan kapsul 25 tahun UiTM Rentas Cawangan. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed, ketua-ketua jabatan, pensyarah-pensyarah, serta ibu bapa dan rakan-rakan pelajar yang terlibat.
Kedai CoSA Techwork merupakan salah satu special project dibawah jenama createpreneur dibawah ilham Penolong Naib Canselor Keusahawanan, Profesor Ts. Dr. Salmiah Kasolang yang terletak di kawasan medan keusahawanan kampus UiTM Cawangan Sabah. Kedai ini menyediakan pelbagai perkhidmatan teknologi seperti pembaikan komputer, pemasangan perisian, dan penjualan aksesori komputer serta gajet. Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi, tetapi juga sebagai satu platform untuk mereka mempelajari aspek keusahawanan secara praktikal.
Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian para pelajar ini dan mengucapkan terima kasih kepada MASMED atas sokongan dan bimbingan yang diberikan. “Kedai CoSA Techwork ini bukan sahaja menjadi bukti kemampuan pelajar kita dalam bidang teknologi, tetapi juga mencerminkan semangat keusahawanan yang ingin kita terapkan dalam diri setiap pelajar UiTM,” kata beliau.
MASMED memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek ini dengan menyediakan bimbingan dan latihan kepada pelajar dalam aspek pengurusan perniagaan, pemasaran, dan kewangan. Koordinator Keusahawanan MASMED UiTM Cawangan Sabah, Encik Mohammad Firdaus Mohamad yang turut hadir dalam majlis tersebut menyatakan bahawa kerjasama dengan Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik adalah salah satu usaha berterusan MASMED untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar walaupun bukan dalam kursus atau program pengurusan perniagaan.
Salah seorang pengurus kedai yang terlibat, saudara Javio Romero Justin menyatakan rasa teruja dan bangga kerana dapat terlibat dalam projek ini. “Ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga bagi kami kerana kami belajar banyak perkara baru, bukan sahaja dalam aspek teknikal tetapi juga dalam menguruskan perniagaan,” kata Javio.
Majlis perasmian diakhiri dengan sesi lawatan ke kedai CoSA Techwork di mana para tetamu berpeluang melihat sendiri perkhidmatan dan produk yang ditawarkan. Dengan perasmian ini, diharapkan kedai CoSA Techwork akan menjadi satu pusat teknologi yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada warga kampus UiTM Sabah tetapi juga kepada masyarakat setempat.