Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang dalam Penyelenggaraan Lebuhraya Pantai Timur 2

Dungun – Pensyarah dari Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan atau Geotechnic and Transportation (GeoTren), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang (UiTMCPh) telah mengadakan kunjungan ke Opus International (M) Berhad, sebuah syarikat perundingan untuk aset Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Dungun. Deligasi disertai oleh empat pensyarah yang diketuai oleh Encik Mohd Mustaqim bertujuan untuk meninjau peluang kerjasama strategik dalam bidang kejuruteraan awam dan infrastruktur lebuhraya yang melibatkan penyelidikan, perkongsian ilmu serta penggunaan teknologi terkini dalam penyelenggaraan lebuhraya. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk menerima input dari penggiat industri dalam membangunkan silibus baru yang bakal ditubuhkan iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan).

Lawatan dimulai dengan taklimat latar belakang operasi penyelenggaraan lebuhraya oleh Opus International (M) Berhad di LPT2 yang disampaikan oleh Pengurus Rangkaian Encik Norehsan Abu Bakar. LPT2 yang merangkumi lebuhraya sepanjang 184 KM dari Jabor ke Kuala Terengganu mempunyai aset cerun sebanyak 1477, 748 saliran dan 105 jambatan semestinya menghadapi cabaran dalam pengurusan penyelenggaraannya. Tambahan lokasi jajaran lebuhraya tersebut yang melintangi kawasan banjir dan terdedah kepada kesan semasa musim tengkujuh menyebabkan keadaan aset di lebuhraya tersebut berisiko menghadapi kerosakan mahupun kegagalan dari segi fungsi mahupun keselesaan penggunanya. Sehubungan itu, suatu kerjasama pintar telah direncana antara pihak FKA dan Opus International (M) Berhad dalam melestarikan penyelenggaraan infrastruktur lebuhraya meliputi penyelidikan bersama. Matlamat penyelidikan antaranya dalam menyumbang kepada penghasilan kaedah rekabentuk dalam kerja seperti pembaikan cerun dan meningkatkan kelestarian penyelenggaraan asset lebuhraya yang lain.

Pada sebelah petang, lawatan teknikal ke lokasi pertama kajian kes dalam kerjasama ini dilakukan di KM346.3 berhampiran Sungai Paka di mana kerosakan pada cerun telah dikesan. Laluan air bawah tanah serta kekerapan berlakunya banjir di kawasan sekeliling cerun tersebut telah dikenal pasti. Akibat kerosakan di kaki cerun, terdapat pergerakan hampir keseluruhan tambakan untuk lebuhraya tersebut turut dikesan dengan permukaan jalanraya yang menjadi tidak rata dan beralun. Deligasi FKA diminta mengkaji dan mencadangkan kaedah rekabentuk sebagai rawatan pembaikan yang lebih mampan dan menyeluruh dalam menyelesaikan masalah terbabit. Matlamat kajian dan cadangan ini akan dimajukan sehingga diterimapakai oleh pihak konsesi lebuhraya LPT2 disamping penerbitan dari hasil kajian yang dijalankan.