Jasin, 29 Oktober 2024 – Penyelidik dan staf Fakulti Peladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Jasin, telah menyertai pameran Karnival STEMLISH anjuran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Mendapat, Jasin, Melaka. Karnival ini bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap sains dan teknologi melalui aktiviti interaktif dan penerokaan ilmu. Pensyarah daripada Fakulti Perladangan dan Agroteknologi bersama staf sokongan telah tampil sebagai pempamer bagi beberapa bidang sains, termasuk sains tanah, serangga, penyakit tumbuhan, enjin, dan hidroponik. Program ini turut melibatkan pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan – pra sekolah, tahap 1, tahap 2, dan pelajar pendidikan khas.
Antara aktiviti utama pameran ialah penerangan teori lapisan tanah bagi penyediaan medium pertumbuhan pokok, yang diketuai oleh Dr. Nur Qursyna Boll Kassim, serta proses penyediaan baja organik oleh Dr. Nur Maizatul Idayu Othman. Selain itu, pemerhatian spesimen serangga dipamerkan oleh Puan Juliana Karim dan Puan Natasha Afsan Tamby Hussin, manakala pembelajaran tentang penyakit tumbuhan diterangkan oleh Puan Nurul Wahida Ramli dan Puan Nur ‘Amira Hamid. Pameran turut menampilkan demonstrasi enjin dan sistem hidroponik, dikendalikan oleh En. Zaharudin Sariman dan En. Hamdan Sulaiman, yang memberi peluang kepada pelajar untuk memahami teknologi pertanian moden secara lebih mendalam.
Program ini bermula pada 8.30 pagi dan berakhir pada 11.00 pagi. Pelajar yang hadir bukan sahaja mendengar penerangan ringkas daripada pakar-pakar yang terlibat tetapi juga berpeluang menjawab kuiz interaktif yang disediakan. Setiap peserta menerima penghargaan kecil sebagai galakan dan motivasi untuk terus mendalami ilmu sains serta menanam minat terhadap dunia sains dan teknologi. Karnival ini berjaya mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna, sekaligus menyemai minat pelajar terhadap sains dan inovasi sejak usia muda. Aktiviti seperti ini bukan sahaja bermanfaat malah mencapai objektif kemapanan iaitu SDG15 (hidupan atas tanah) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
Penulis Bersama: Norazlina Abu Sari