Penyelidik FPA Kampus Jasin dan Syarikat Legasi Z Sufi Sdn. Bhd. Berkolaborasi Menerokai Potensi Tanaman Sorghum di Malaysia

Jasin, 13 Februari 2025 – Tanaman Sorghum atau dikenali sebagai Sekoi atau Betari merupakan tanaman bijirin yang telah di tanam sejak dahulu di Malaysia dan semakin dilupakan oleh generasi baharu kini. Selain potensi tanaman makanan ternakan di Malaysia, bijirin sorghum juga boleh diproses dan dijadikan sebagai makanan pilihan manusia. Sorghum mempunyai kandungan protein yang tinggi dan bebas gluten yang menjadikannya sebagai antara makanan alternatif kepada orang-orang yang mempunyai alergi terhadap produk-produk makanan bergluten. Selain itu, sorghum juga sesuai dijadikan menu diet pengidap kencing manis, penderita kanser usus dan yang mempunyai masalah alergik eczema.

Bersempena Program “Farm and Fun Run” yang dianjurkan oleh Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, ICAN, Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah pada 14 Disember 2024 yang lalu, Syarikat Legasi Z Sufi Sdn. Bhd. telah menaja air sorghum, air sorghum gula melaka dan dan air sorghum lemon pudina untuk memperkenalkan dan mempromosi sorghum dan khasiatnya dengan lebih dekat lagi kepada para mahasiswa, mahasiswi, kakitangan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, Kampus Jasin yang hadir.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Legasi Z Sufi Sdn Bhd, Encik Azahar Shahimi, pihaknya menyedari bahawa sorghum memiliki potensi sangat besar sebagai makanan pengganti beras dan gandum kepada manusia. Pihaknya berharap promosi air sorghum bersempena Program “Farm and Fun Run” ini dapat membuka mata ramai orang tentang khasiat air sorghum. Untuk perancangan seterusnya, pihak syarikat sedang menerokai potensi lanjut tanaman sorghum melalui kerjasama dengan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang di ketuai oleh Dr. Pathimah Abdol Latif dan Dr. Mohammad Feizal Daud.

Kerjasama ini diharap dapat meningkatkan lagi tahap sekuriti makanan negara tanpa perlu bergantung sepenuhnya terhadap import dari negara luar seperti gandum.

Penulis bersama : Dr. Pathimah Abdol Latif, Dr. Mohammad Feizal Daud