Penyelidik FKK Tetamu Program RTM

Profesor Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK), Prof Ku Halim Ku Hamid, telah dijemput sebagai tetamu di program Lensa IPT di saluran Berita RTM bagi mengupas topik ‘Penyelidikan UiTM Menjulang Kemajuan Negara’ pada petang Sabtu 22 Ogos 2020.

Antara produk inovatif beliau yang berimpak adalah teknologi penghasilan biodiesel bernilai tinggi dari bahan buangan kelapa sawit yang tidak bernilai.

Teknologi penghasilan biodiesel ciptaan beliau tidak memerlukan penggunaan pemangkin kimia serta tidak menghasilkan bahan buangan toksik, menjadikannya suatu teknologi hijau yang mudah, ringkas, dan kos rendah.

Hasil penyelidikannya telah dipaten di dalam dan luar negara dengan nilai jutaan ringgit, dibayar kepada universiti. Langkah ini adalah penting bagi melindungi teknologi tempatan daripada dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Prof Ku Halim, proses pematangan sesuatu produk penyelidikan memerlukan 3 hingga 5 tahun. Promosi kepada syarikat-syarikat berkaitan merupakan elemen yang penting bagi menerangkan teknologi baru dan mendapat keyakinan dari industri yang relevan untuk melabur dan seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Pesanan beliau lagi, penyelidik hendaklah selalu melihat ke hadapan dan menjadikan sejarah sebagai pengajaran agar mampu bersaing dengan cabaran luar yang mendesak keperluan produk inovatif. Sebagai contoh, penyelidikan pemprosesan minyak gaharu telah membawa kepada penghasilan produk nilai tambah berasaskan gaharu yang memberi manfaat kepada kesihatan.

Selain itu, beliau juga menerangkan berkenaan kepentingan untuk mendapat input dari segi permasalahan dan kepakaran dari pelbagai sumber bagi memacu dalam bidang penyelidikan yang berimpak tinggi.