Penyediaan Paparan Maklumat Haiwan di Rabbitland Jengka, Pahang

Rabbitland Jengka ialah sebuah zoo mini yang pertama di Jengka, Pahang dan diuruskan sepenuhnya oleh Sharali Group Sdn. Bhd. yang memainkan peranan utama dalam hal ehwal pemeliharaan hidupan liar dan domestik di sini. Zoo mini telah mula ditubuhkan secara rasmi di Mercu View Resort, Bandar Jengka sebelum ditukarkan ke lokasi baru yang lebih besar di Jengka 14 dan mula beroperasi pada 1 Mac 2020. Zoo mini ini bermula dengan koleksi beberapa spesies induk yang kini telah berkembang sehingga 60 spesies haiwan. Zoo mini ini menggunakan konsep pameran secara terbuka untuk keselesaan haiwan dan juga para pengunjung dengan hiasan laman yang bersesuaian dengan persekitaran asalnya. Rabbitland Jengka zoo mini ini merangkumi keluasan 50 ekar tanah yang terletak kira-kira 6 km dari Bandar Pusat Jengka.

Tujuan utama zoo mini ini adalah untuk memperkenalkan kepelbagaian fauna yang berada di Malaysia walaupun dalam skala yang kecil. Rabbitland Jengka mempunyai pelbagai jenis haiwan yang dipamerkan. Zoo mini terdiri daripada tarikan utamanya iaitu taman arnab yang mempunyai pelbagai baka arnab yang dilepaskan bebas untuk para pengunjung mengenali secara lebih dekat terhadap haiwan tersebut. Selain itu, zoo mini ini juga menempatkan haiwan akuatik seperti kura-kura, katak, ikan, dan lain-lain lagi. Tambahan pula, terdapat pelbagai jenis burung yang dapat disaksikan di sini seperti Burung Kuang Emas, Burung Baji, Burung Cockatiel, Burung love bird, Burung Merpati, Burung Merak, Burung Unta, itik, dan pelbagai jenis ayam (Ayam Sutera, Ayam Belanda, Ayam Bulu Balik, Ayam Brahma, Ayam Poland, Ayam Batik, Ayam Serama dan Ayam Api-api). Terdapat juga haiwan mamalia menjadi penarik ke zoo mini ini seperti unta, rakun, rusa, kuda, memerang, kambing bebiri gurun, landak, tupai, kerbau balau, lembu besar, dan banyak lagi. Lebih banyak haiwan dijangkakan akan ditambah pada masa hadapan kelak.

Usaha mewujudkan Rabbitland oleh Sharali Group Sdn. Bhd. adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang beberapa spesies haiwan seperti arnab, rusa, unta, kibas, ayam, burung, lembu, dan banyak lagi. Pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat haiwan-haiwan tersebut. Apa yang dapat dilihat di Rabbitland sebelum ini adalah terdapat haiwan-haiwan di situ tidak dilabelkan dengan nama saintifik serta nama tempatan yang betul dan bagi yang sudah dilabel pula, tiada deskripsi tentang haiwan-haiwan tersebut. Perkara ini adalah penting untuk mencapai objektif asal Sharali Group Sdn. Bhd. supaya maklumat yang disampaikan kepada pengunjung adalah tepat.

Dengan kerjasama yang dilakukan dengan pihak UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, pendidikan boleh menjadi salah satu objektif utama dalam penubuhan zoo mini ini. Tujuan projek ini adalah untuk mengenal pasti spesies haiwan yang terdapat di situ dengan lebih tepat dan menyediakan paparan maklumat yang lengkap bagi haiwan-haiwan di situ. Antara maklumat yang akan dimasukkan ke dalam paparan teks haiwan di situ adalah seperti: nama spesies, nama tempatan, ciri-ciri, diet pemakanan, tabiat/kelakuan, ekologi, taburan, serta maklumat khusus yang lain. Maklumat-maklumat ini amat penting untuk disebarkan kepada masyarakat awam, terutamanya kanak-kanak sebagai salah satu proses perkembangan ilmu bagi melahirkan rasa kasih sayang dan ketanggungjawaban masyarakat terhadap hidupan lain kerana hidupan-hidupan ini turut memainkan peranan yang penting dalam kehidupan, pembangunan, dan kelestarian hidup manusia di dunia. Maklumat yang disampaikan haruslah tepat dan terkini sejajar dengan matlamat Malaysia dan global dalam menyokong usaha matlamat pembangunan lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goal (SDG).

Usaha penambahbaikan paparan maklumat ini juga dilihat mampu menaikkan nilai kredibiliti Rabbitland sebagai pusat rekreasi atau mini zoo yang berinfomatik serta berguna kepada masyarakat setempat. Hal ini selari dengan kebanyakkan zoo di Malaysia yang menjadikan peranan info-grafik sebagai perkara utama dalam komponen pameran mereka. Tambahan pula, sumbangan kecil dari pihak UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka ini mampu memberi nilai tambah atau kredit kepada pihak Rabbitland kerana masyarakat melihat penglibatan golongan akademik dari institusi pengajian tinggi di Malaysia. Diharapkan, perkara ini secara tidak langsung boleh menambahkan intensiti pengunjung ke mini Zoo Rabbitland, bukan sahaja di sekitar daerah Jengka malah dari pelbagai daerah dan negeri juga.