Pensyarah UiTM Seri Iskandar kongsi kepakaran di universiti luar negara

Lima pensyarah Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM Cawangan Perak bersama pensyarah-pensyarah UPJ.

SERI ISKANDAR – Lima pensyarah Fakulti Seni Lukis & Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak meneruskan jalinan usahasama dengan Institut Seni Budaya Indonesia (ISBI), Bandung, Indonesia sejak 2016 sehingga kini.

Jalinan usahasama yang dijalankan itu bagi memastikan bidang dan kepakaran seseorang itu sentiasa relevan serta disebarluas bagi membuktikan kepakaran mereka sering diiktiraf selain sentiasa menjadi rujukan dalam bidangnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Senilukis dan Senireka UiTM Seri Iskandar, Dr Muhammad Abdul Aziz Ab Gani berkata, pihaknya menghantar lima pensyarah dari fakulti itu bagi program tersebut.

Katanya, kerjasama sebagai pakar rujuk dalam menaiktaraf silibus institusi tersebut kedua-dua institusi pengajian tinggi ini telah menandatangani Memorandum Persefahamaan (MoU) pada tahun 2017.

“Bertitik tolak dari situ, deligasi ini telah menerima banyak undangan dari institusi pengajian tinggi Indonesia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih serius sehingga turut di jemput untuk mengajar subjek dalam bidang kepakaran masing-masing di Universitas Pembangunan Jaya (UPJ), Jakarta, Indonesia.

“Deligasi ini juga akan dijemput oleh beberapa universiti Asia yang lain seperti Nagoya University of Art, Jepun, Dhaka University, Bangladesh dan Srinakharinwot, Thailand,” katanya.

Jelas Dr Muhamad Abdul Aziz berkata, jemputan itu sedikit sebanyak telah memberi pengiktirafan kepada pensyarah Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Perak dari sudut kepakaran dan dalam masa yang sama memberikan KPI kepada Universiti Teknologi MARA itu sendiri.

Dr Muhamad Abdul Aziz Ab Gani & Dr Nur Hisham menerangkan tentang prinsip rekabentuk dalam kelas.

Katanya, selain dari mengajar, deligasi dari UiTM Cawangan Perak ini turut diminta untuk memberi ceramah di forum akademik yang dihadiri oleh Rektor, wakil rektor serta pengurusan atasan UPJ disamping pelajar.

“Kami berharap ini satu permulaan yang akan menjadi pemangkin kepada pensyarah yang lain untuk turut menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing di universiti luar negara.

“Pengalaman ini merupakan satu pendedahan kepada kita sebagai ahli akademik berdepan dengan suasana yang agak berbeza dan sudah pasti ianya akan mematangkan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Asas Seni, Muh Sarip Abd Rahman menyifatkan pengalaman mengajar diluar negara sebagai satu pengalaman yang baru dengan suasana yang baru dan ianya dapat meningkatkan tahap keyakinan serta pengetahuan disamping berkongsi kepakaran dengan rakan-rakan di sini.

Sumber: https://kampusuols.com/article/427677/U-In-News/PERAK/Pensyarah-UiTM-Seri-Iskandar-kongsi-kepakaran-di-universiti-luar-negara

0
0