Pensyarah, pelajar Senibina Landskap UiTM menyerlah di MLAA 2019

Para penerima anugerah MLAA 2019 baru-baru ini.

PETALING JAYA 24 April – Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, UiTM Kampus Puncak Alam mampu berbangga dengan pencapaian para pensyarah dan pelajar Senibina Landskap apabila dianugerahkan pelbagai anugerah di Malam Gala Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) pada 20 April lalu.

Program anjuran Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) itu merupakan ruang bagi para penggiat industri dan akademik untuk mempamerkan idea, reka bentuk, hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang Senibina Landskap kepada masyarakat.

MLAA juga secara langsung dapat meningkatkan keterampilan bidang Senibina Landskap sebagai salah satu industri yang penting dalam konteks Alam Bina di Malaysia khususnya.

Antara anugerah yang diterima pada malam tersebut adalah ‘Excellence Award’ bagi kategori Penyelidikan, manakala bagi kategori Pelajar pula, 4 ‘Honour Award‘ dan 1 ‘Academic Award‘ telah dianugerahkan oleh pihak Institut Arkitek Landskap Malaysia.

Bagi kategori Penyelidikan, Dr Alamah Misni, Pensyarah Pusat Pengajian Senibina Landskap UiTM Puncak Alam dan Sakurah Jamaluddin, pelajar sarjana dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur telah dianugerahkan dengan ‘Excellence Award’. Anugerah ini diberikan bagi penyelidikan mereka yang bertajuk ‘Above ground Carbon Sequestration Potential in Open Space and Urban Green Reserve‘ di Pasir Gudang, Johor.

Bagi kategori pelajar pula, Institut Arkitek Landskap Malaysia telah menganugerahkan 4 ‘Honour Award’ kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap UiTM iaitu Izzati Fatini Zulkarnain, Mohammad Najib Zainudin, Abdul Muizz Abd Rasid dan Muhammad Luqmanul Hakim Senawi. Manakala, ‘Academic Award’ telah dianugerahkan kepada Muhammad Zulkifly Wan Fadzilah pada malam tersebut.

Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur melihat kejayaan ini sebagai perkembangan positif kepada pelajar UiTM khususnya.

Beliau juga yakin dengan kredibiliti tenaga pengajar dan para pelajar UiTM untuk bergerak seiring dengan keperluan industri masa kini.

Pihak fakulti, katanya, juga sentiasa positif dalam mengeratkan hubungan antara pihak industri dan akademik sekali gus melahirkan graduan yang mampu berdaya saing dan melengkapi keperluan industri pada masa hadapan. – UTUSAN ONLINE

Oleh : Zainuddin Ab Rahman
Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/pensyarah-pelajar-senibina-landskap-uitm-menyerlah-di-mlaa-2019-1.888140

0
0