Pensyarah Matematik KPPIM Lonjak Prestasi Pelajar Melalui Bengkel Skor Matematik (BESMAT)

22 Jun 2024 – Bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam kursus matematik, Pusat Pengajian Sains Matematik, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Shah Alam telah mengambil satu inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Skor Matematik (BESMAT). BESMAT ini memfokus kepada tiga kursus Matematik SFG iaitu Kalkulus I (MAT421), Asas Matematik Gunaan (MAT438) dan Persamaan Pembezaan Biasa (MAT522). BESMAT telah diadakan di FSG UiTM Shah Alam, dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang.

Seramai enam orang pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Matematik KPPIM terlibat dengan bengkel BESMAT yang bertindak sebagai fasilitator iaitu Dr Suhaila Abd Halim, Dr Nurul Syaza Abdul Latif, Dr Hazizah Mohd Ijam, Dr Noor Azzah Awang, Dr Mohd Hakim Jamil dan Cik Noratika Nordin. Pengisian BESMAT ini adalah motivasi dan strategi membantu pelajar dalam pecutan terakhir pada minggu ke 12 untuk mereka memahami topik-topik dalam tiga kursus tersebut.

Pelaksanaan bengkel BESMAT memberi impak yang signifikan dengan membuat pembelajaran lebih menarik serta mendorong peserta untuk aktif dalam sesi-sesi yang dijalankan. Ini menjadikan peserta lebih bermotivasi dan positif dalam meningkatkan prestasi mereka dalam kursus matematik yang mereka ambil. Ia juga membantu pelajar dalam pecutan terakhir pada minggu ke 12 untuk mereka memahami topik-topik dalam tiga kursus tersebut.

Sebilangan besar peserta BESMAT berpendapat bengkel ini perlu diteruskan pada masa hadapan kerana ia membantu mereka lebih memahami kehendak soalan matematik dan meningkatkan fokus pelajar, di samping terdapat aktiviti dalam kumpulan yang berkesan. Peserta juga menghargai pendekatan mesra para pensyarah yang terlibat dalam menjalankan BESMAT ini.

Penulis : Suhaila Abd Halim, Nurul Syaza Abdul Latif
Editor : Suzana Zambri (KPPIM News Team)