Pensyarah FKPM Sertai Bengkel Pencipta Kandungan, Bantu Realisasikan Kuala Lumpur Sebagai Bandar Raya Lestari

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2024 – Pensyarah kanan dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Puan Siti Hajar Abd Aziz baru-baru ini telah dipilih sebagai salah seorang daripada 60 peserta Bengkel Pencipta Kandungan KUL! 2024 anjuran portal Chilisosmy dan organisasi Think City di Sustain.ed, Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Daripada lebih 150 pemohon, hanya 60 peserta terpilih untuk menyertai bengkel ini, menjadikannya satu pencapaian yang membanggakan. Walaupun peserta adalah dari pelbagai latar belakang dan majoriti mereka membuat kandungan digital pada masa lapang, ramai juga terlibat secara langsung dengan bidang pengacaraan, penulisan kreatif, fotografi, podcast, postal berita dan reviu filem.
Di dalam bengkel yang padat dengan perkongsian, tips dan aktiviti itu, Puan Siti Hajar dan ahli Kumpulan Lima berjaya memenangi cabaran video berkumpulan dengan tema cari makanan di sekitar Pasar Seni.
Selain cabaran kumpulan, bengkel ini juga menguji para peserta dengan cabaran membuat video secara individu, pitching idea untuk video berepisod, serta latihan mengedit video. Walaupun tidak terpilih sebagai 10 peserta terbaik yang akan menerima bimbingan khas selama tiga bulan, beliau bersyukur dapat belajar menjadi pencipta kandungan yang berilmu, menyebarkan positiviti, dan berperanan dalam menjadikan Kuala Lumpur bandar raya yang lebih kondusif untuk didiami.
Video kumpulan yang berjaya dalam cabaran tersebut kini boleh disaksikan di pautan https://vt.tiktok.com/ZS2kY43fc , manakala video di sebalik tabir hasil karya Puan Siti Hajar turut boleh ditonton di pautan https://vt.tiktok.com/ZS2kYmDLP/
Bengkel ini, yang dianjurkan oleh portal berita cilisos.my dengan kerjasama organisasi Think City, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai pengguna dan pencipta kandungan media sosial.
Ia juga melibatkan fasilitator terkenal termasuk Iqbal, Mirzan, Amirul, dan Chak, yang berkongsi ilmu dan panduan berharga sepanjang sesi intensif yang berlangsung hampir 14 jam itu.
Artikel ditulis bersama oleh : Siti Hajar Abd Aziz, Mohamad Hafifi Jamri (Dr.), Siti Nurshahidah Sah Alam & Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani