18 Mei 2024 – Penang Nursing Student Association (PeNSA) Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah meganjurkan program PeNSA Bushwalk bertempat di Pantai Kerachut, Taman Negara, Pulau Pinang. Program ini disertai seramai 38 mahasiswa/i Diploma Kejururawatan diiringi seorang pensyarah dan 2 orang staf lain. Turut bersama seorang staf Taman Negara, sebagai pemandu arah.
Program yang berkonsepkan sukan dan rekreasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa/i berkaitan kesihatan fizikal melalui aktiviti meredah hutan. Selain itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa/i dan dapat memberi pendedahan dan kesedaran supaya menghargai alam sekitar dalam kehidupan.
Sepanjang perjalanan meredah hutan atau “jungle-trekking” mahasiswa/i diperkenalkan dengan pelbagai pokok-pokok hutan dan sejarah-sejarah lain Taman Negara, Pulau Pinang oleh pemandu arah berkenaan. Setibanya di Pantai Kerachut, mahasiswa/i diperkenalkan pula dengan Tasik Meromiktik dimana ia merupakan satu-satunya danau campuran air tawar dan masin yang terdapat di benua Asia. Mangikut maklumat yang dikongsikan, uniknya tasik ini, ia mempunyai dua lapisan air, dua suhu, dua ketumpatan dan dua spesis marin.
Selain mendapat pelbagai ilmu baru mengenai hutan dan fenomena alam, pelbagai aktiviti riadah lain turut dijalankan oleh mahasiswa/i semasa berada di Pantai Kerachut. Semoga sedikit sebanyak dengan penganjuran program ini dapat mengeratkan silaturrahim disamping memberi kesedaran kepada mahasiswa/i supaya dapat menghargai alam sekitar ciptaan Allah s.w.t.