PENINGKATAN PENGALAMAN DAN ILMU BAHARU PENSYARAH PROGRAM UKUR BANGUNAN MELALUI LAWATAN TEKNIKAL KE TAPAK PROJEK HOSPITAL SERI ISKANDAR

SERI ISKANDAR, 5 Oktober 2023 – Satu sesi lawatan teknikal ke tapak projek pembinaan Hospital Seri Iskandar telah dijalankan oleh para pensyarah dari Program Ukur Bangunan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perak. Seramai 23 orang pensyarah dan 5 orang pelajar yang sedang menjalani latihan industri turut serta dalam lawatan ini.

Projek yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan diselia sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya Cawangan Projek Khas ini telahpun hampir siap 50% sepenuhnya. Matlamat lawatan teknikal ini diadakan adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kepakaran antara ahli akademik dan pihak industri.

Selain itu, lawatan ini juga sangat bermanfaat dalam menambah ilmu pengetahuan, pendedahan teknologi pembinaan terkini dan melihat kemajuan fizikal projek tersebut. Jelas, usaha seperti ini bukan hanya memberikan manfaat kepada para pensyarah. Bahkan, para pelajar turut akan mendapat maklumat berkenaan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kuliah.

Lawatan yang bermula pada jam 9.00 pagi itu didahului dengan sesi taklimat projek pembinaan oleh En. Salleh selaku Pengurus Projek. Kemudian sesi lawatan diteruskan dengan taklimat keselamatan di tapak bina oleh pegawai keselataman dan kesihatan.

Menurut Pengurus Projek, sistem IBS telah digunakan pada struktur utama bangunan hospital ini. Sistem Modular Besi (Steel Modular System) digunakan untuk pemasangan komponen stiffener dan lintel dimana dapat mengurangkan masa pembinaan struktur di dalam bangunan tersebut. Projek hospital yang mengandungi 4 wad dengan berkapasiti 76 katil dan berkeluasan 26.783 hektar ini dijangka siap pada Oktober 2024 dan dijangka beroperasi pada awal tahun 2025.

Program lawatan teknikal ini berakhir pada jam 12 tengahari. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada JKR Cawangan Projek Khas di atas peluang dan ruang yang diberikan dalam menjayakan lawatan teknikal ini.

Semoga projek berjaya dan akan memberikan manfaat yang sangat berharga kepada seluruh warga Perak Tengah, khususnya di Seri Iskandar.

Penulis:

NURHIDAYAH SAMSUL RIJAL
Sr Dr. IRWAN MOHAMMAD ALI