Penilaian Akhir AC700 UiTM Kelantan melabuhkan tirai

KOTA BHARU – Penilaian akhir yang bermula pada 11 Februari 2023 telah berakhir pada sesi petang 19 Februari 2023. Pelajar-pelajar bagi kod kursus MAF731, Corporate Finance Strategy ketika ditemui untuk sesi terakhir ini rata-rata menyatakan rasa lega kerana telah mengharungi 3 semester yang amat mencabar.

Menurut Puan Nur Shazuanis, “Bekerja sambil belajar bukan perkara yang mudah sekiranya tiada rasa ‘enjoy’ dalam segala tindak tanduk yang kita lakukan apatah lagi bila memikul dua tugasan dalam satu masa. Kita juga perlu bijak menguruskan masa antara kerja dan belajar.”

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh pelajar antaranya adalah waktu bekerja secara shift, masalah kesihatan, mengurus anak, bekerja sewaktu ‘peak season’ audit, mengejar ‘deadlines’ dan bertembung masa ‘monthly report’ di tempat bekerja dan dalam masa yang sama perlu menghantar tugasan.

Bila membicarakan cabaran menyiapkan tugasan, menurut Encik Muhammad Shaqif Azfar Afandi, “rakan sekelas saling memberi kerjasama dan saling melengkapi. Ada saat kita tak dapat beri komitmen, rakan sekumpulan tidak lokek untuk membantu”. Sudah semestinya ada masalah yang dihadapi, namun ianya dapat di atasi sesama mereka dan dikendalikan secara bijak dan berhati-hati oleh ketua kelas Encik Mohd Nazir Matuldi.

Penilaian akhir secara bersemuka ini telah memberi peluang kepada pelajar bahagian tiga (semester terakhir sebelum menyiapkan disertasi) untuk bersua muka dengan pensyarah dan rakan sekelas. Walaupun baru pertama kali berjumpa, pelajar kelihatan akrab dan teruja.

Pihak Penyelaras Program Sarjana Perakaunan (AC700) mengucapkan jutaan terima kasih atas kesanggupan pelajar dari pelbagai negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Terengganu datang ke UiTM Kota Bharu untuk menduduki penilaian akhir.

Ucapan terima kasih ini juga dipanjangkan kepada pensyarah-pensyarah cawangan yang sanggup datang dari Jengka dan Melaka untuk turut serta dalam melicinkan perjalanan penilaian akhir ini. Seperti juga pelajar, mereka juga amat gembira kerana dapat bertemu dan berkenalan sesama mereka. Hubungan yang selama ini terjalin secara atas talian (maya) menjadi lebih akrab dengan pertemuan secara fizikal. Walaupun teknologi membantu mendekat hubungan secara maya, hubungan secara fizikal juga penting untuk melengkapkan dan mempereratkan lagi silaturahim.