Penglibatan APB UiTMCNS Kampus Kuala Pilah di Cultural Expo di PSU, Filipina

10 September 2024 – Pangasinan State University (PSU), Filipina telah mempelawa wakil-wakil daripada Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah untuk menyertai Internationalization Week 2024 yang akan diadakan buat pertama kalinya di universiti itu. Pihak PSU telah memohon supaya wakil UiTM tersebut untuk berkongsi budaya  daripada Malaysia pada Cultural Expo yang diadakan pada 10 September 2024 bersama wakil daripada dua negara lain iaitu Filipina sendiri dan Jepun.   

Wakil daripada UiTM CNS yang terdiri daripada Dr Rafidah Kamarudin (Ketua Pusat Pengajian APB UiTMCNS), Cik Norshida Hashim, Dr Syahirah Almuddin, Dr Amalia Qistina Castaneda Abdullah, Puan Mazliyana Zainal Arifin dan Cik Anis Shahira Bazlan telah menghadiri majlis tersebut. Antara aktiviti yang telah disertai ialah perkongsian tentang masakan kebangsaan Malaysia iaitu Nasi Lemak. Berbekalkan beberapa bahan masakan yang dibawa khas dari Malaysia dan juga yang dibeli di pasar berdekatan dengan PSU, cara masakan Nasi Lemak oleh Cik Norshida dan Dr Syahirah telah dipertontonkan kepada warga PSU dan diterangkan oleh Dr Rafidah dan Dr Amalia. Selain daripada itu, mereka juga diperkenalkan dengan hidangan ringan iaitu cucur bilis. Kedua-dua masakan tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada warga PSU apabila mereka memberi maklumbalas yang positif setelah mencuba kedua-dua hidangan. Selain daripada aktiviti memasak dua hidangan ini, mereka juga diperkenalkan dengan dodol yang terdiri daripada 3 jenis iaitu gula melaka, pandan, dan durian, yang mana mereka dapat juga merasa dodol tersebut. 

Pada sebelah petang pula, sesi perkongsian budaya diteruskan dengan perkenalan kepada budaya masyarakat. Wakil dari Malaysia telah berkongsi tentang cara batik diwarnakan setelah dicanting dan juga Syair. Bagi memperkenalkan batik, para hadirin dimaklumkan dengan sedikit latar belakang tentang batik dan bagaimana fabrik dicanting oleh Puan Mazliyana. Berbekalkan beberapa contoh batik yang telah dicanting yang dibawa daripada Malaysia, Dr Amalia telah menerangkan cara batik diwarnakan menggunakan pewarna fabrik. Bagi memastikan penglibatan daripada mereka yang hadir, beberapa orang warga PSU telah diajak untuk sama-sama mewarna batik yang telah decanting tersebut. Hasilnya, mereka sangat tekun dan teliti untuk menyiapkan hasil seni masing-masing. 

Selain daripada itu, Puan Mazliyana juga telah berkongsi tentang puisi turun-temurun iaitu Syair kepada mereka yang hadir. Sedikit perkongsian tentang jenis puisi, perbezaan antara Syair dan puisi lain, jenis-jenis irama dalam Syair juga telah dikongsi dengan penonton. Mereka juga dimaklumkan tentang usaha-usaha yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejak dahulu hingga sekarang, bukan sahaja sekadar memperkenalkan Syair di sekolah, tetapi juga menganjurkan pertandingan hingga ke peringkat kebangsaan demi untuk memastikan seni budaya ini tidak pupus dalam kalangan generasi baru. 

Secara keseluruhannya, penglibatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan dalam Internalization Week 2004 yang dianjurkan oleh Pangasinan State University, Filipina telah membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuhkan jaringan antarabangsa dan memartabatkan kerjasama akademik di peringkat global. Program ini bukan sahaja membuka peluang untuk berkongsi pengetahuan, idea, dan budaya, malah turut meningkatkan pemahaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang wujud seantero dunia. 

Pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang program ini pastinya akan memberi impak positif terhadap usaha UiTM dalam melahirkan staf yang mampu berdaya saing di persada dunia. Diharapkan, penglibatan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan antara UiTM dan institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa. Semoga hubungan baik antara kedua-dua institusi ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Disediakan oleh Norshida binti Hashim, Dr Syahirah binti Almuddin, Dr Amalia Qistina Castaneda Abdullah, Dr Rafidah binti Kamarudin, Mazliyana binti Zainal Arifin, dan Anis Shahira binti Bazlan