Pengiktirafan Akademia UiTM: Anugerah Akademik Universiti Cawangan Perak (AAUCP 2022)

SERI ISKANDAR, 25 Mei 2023 – Anugerah Akademik UiTM mula diperkenalkan pada tahun 2009 dengan tujuan memberi pengiktirafan tertinggi kepada kecemerlangan akademik dalam pelbagai bidang di UiTM yang telah menaikkan dan mengharumkan nama UiTM di persada kebangsaan dan antarabangsa. Justeru itu, UiTM Cawangan Perak juga telah mengambil inisiatif dan memperkenalkan Anugerah Akademik UiTM Cawangan Perak (AAUCP) bermula pada tahun 2016 dengan 10 kategori anugerah.

Julung kalinya Jabatan Pengurusan dan Perniagaan mengendalikan program berprestij ini dengan kolaborasi bersama Pejabat Hal Ehwal Akademik (HEA) pada 16 Mei 2023. Bertemakan “Pemerkasaan Akademia Global” selaras dengan Pelan Strategik UiTM 2022, 17 kategori anugerah telah dipertandingkan dengan penambahan satu kategori baru iaitu Anugerah Pengantarabangsaan.

Majlis dirasmikan oleh Yang Berbahagia Professor Datin Dr Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA dihadiri oleh 173 tetamu terdiri daripada jemputan khas iaitu Profesor Nor Aziah Alias selaku penceramah “Rise above Your Story” sebagai tajuk ceramah dan beliau juga merupakan pemenang Anugerah Tokoh Akademik AAU 2021.

Seramai 61 pencalonan bagi anugerah ini dan keputusan penilaian melayakkan 19 calon akademia berjaya merangkul anugerah AAUCP2022 yang berprestij kali ini. Para pemenang merupakan 3 wakil Jabatan Pengurusan dan Perniagaan (JPP), 8 wakil Kolej Alam Bina (KAB) dan 3 wakil Fakulti Sains Gunaan (FSG), manakala Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) dan Fakulti Perakaunan (FP) masing-masing 2 wakil pemenang dan juga 1 wakil dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Media (KPPIM). Pemenang dianugerahkan 3 bentuk hadiah berupa trofi, sijil dan wang simpanan SSP bernilai RM500. Majlis diakhiri dengan sesi foto para pemenang bersama pengurusan eksekutif UiTM Cawangan Perak dan para jemputan.

Diharapkan penganugerahan ini dapat meningkatkan momentum para akademia UiTM Cawangan Perak mencapai kecemerlangan selari dengan sasaran UiTM bagi melonjakkan World University Ranking.