Penghayatan Nilai Esi I-Dart Melalui Ceramah Membuka Mata Mahasiswa

Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Satu sesi Ceramah ESI i-DART telah berlangsung pada 18 Ogos 2022 sebagai salah satu daripada 3 aktiviti yang telah direncana bersempena Program Suara Merdeka EDU bagi bulan kemerdekaan pada tahun 2022. Program ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Tujuan utama Ceramah ESI i-DART ini diadakan adalah bagi memupuk nilai-nilai ESI i-DART dalam kalangan pelajar Fakulti Pendidikan melalui aktiviti kenegaraan sesuai dengan konsep kemerdekaan negara bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nilai ESI i-DART dalam kalangan pelajar bagi memacu kecemerlangan.

Sesi perkongsian Ceramah ESI i-DART, yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Zoom Meeting, dibuka dengan penerangan maksud dan definisi ESI i-DART oleh Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Zuraeda Ibrahim. ESI membawa maksud Excellence, Sinergy dan Integrity manakala i-DART pula bermaksud ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab. Penggunaan pelbagai imej dalam penerangan daripada Dr. Zuraeda serta kaedah komunikasi secara dua hala dilihat berjaya menarik perhatian para mahasiswa. Dr. Zuraeda juga berkongsi tentang cara untuk menilai dan melihat perkara yang perlu ditambahbaik supaya dapat meningkatkan kualiti diri dengan menggunakan bahan bulatan kehidupan. Berikut adalah contoh-contoh hasil dari mahasiswa Fakulti Pendidikan semasa sesi berlangsung:

Hidup tanpa matlamat umpama kapal tanpa nakhoda, hanyut di tengah lautan. Dr. Zuraeda juga berkongsi tentang kepentingan bagi mahasiswa untuk mempunyai matlamat dalam kehidupan agar apa yang diimpikan jelas dan bergerak seiring dengan tingkah laku. Sesi perkongsian ini sedikit sebanyak diharapkan agar dapat menjadi pandu arah bagi mahasiswa menjadi insan yang bermatlamat dan dapat memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa dengan menerapkan nilai ESI i-DART.

Seramai 155 orang mahasiswa Fakulti Pendidikan telah terlibat bagi menjayakan program Ceramah ESI i-DART ini dan aktif mengikuti pelbagai aktiviti menarik sepanjang ceramah berlangsung. Ceramah ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Ab. Rahman, para pensyarah dan staf. Sesi ceramah bermula seawal jam 9:00 pagi dan berakhir pada jam 12:00 tengah hari. Ceramah diakhiri dengan soalan daripada saudara Muhammad Afnan Haikal bin Syamsul Rizal dalam sesi soal jawab tentang bagaimana untuk menangani sikap introvert sebagai bakal pendidik. Dr. Zuraeda telah berkongsi beberapa teknik dan cara untuk menangani perkara itu dengan mudah bagi menjawab soalan tersebut. Sepanjang sesi ceramah berlangsung, 2 orang pelajar Fakulti Pendidikan iaitu Muhammad Azri Aiman bin Mohamad Jamil dan Nurul Iyliana Natasha binti Zaidi telah terpilih untuk menerima hadiah berbentuk senaskhah buku motivasi daripada Dr. Zuraeda. Diharapkan ceramah tersebut dapat meningkatkan semangat mahasiswa bagi mencapai perkembangan pendidikan yang mampan.