Pengesanan Maklumat Tangkas, Bacaan Pantas Sumbangan Perpustakaan UiTM Terhadap Komuniti

SHAH ALAM, 23 NOVEMBER 2024: Penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat telah mendorong 334 orang terdiri daripada pelajar dan guru mengunjungi Perpustakaan Tun Abdul Razak bagi mendalami ilmu pengesanan maklumat tangkas dan bacaan pantas. 

Kemahiran ini  amat berguna bagi melatih minda pantas membaca dan pantas memahami kandungan pembacaan malah amat membantu keupayaan kendiri pelajar dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan yang tepat. 

Program dimulai dengan ucapan Ketua Pustakawan UiTM Ts Haji Azizi bin Haji Jantan yang mengalu-alukan penyertaan pelajar di dalam siri ketiga program Literasi Maklumat Komuniti Sekolah selepas siri pertama melibatkan komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah dan siri kedua adalah dari 11 buah sekolah Parlimen Bagan Datuk. 

Menerusi ucapannya beliau menyatakan bahawa golongan muda seharusnya diasuh, dididik dengan kemahiran pengurusan maklumat berkesan agar dapat mendepani cabaran limpahan maklumat masa kini. 

Turut menyampaikan ucapan adalah Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Selangor YBRs. Encik Ruzain Syukur bin Mansor dan Guru Besar SK Lembah Subang YBrs. Puan Hajah Fazliyaton binti Mohamad Sharif. 

Program yang julung kalinya melibatkan pelajar sekolah rendah telah berjalan dengan lancar dan murid-murid telah mempamerkan minat dan kesungguhan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. 

Walaupun diadakan pada hari Sabtu dan di luar waktu persekolahan, ianya tidak sedikit pun mengganggu fokus pelajar dalam mendengar, memahami dan mengaplikasikan ilmu yang baharu diterima daripada 6 orang pustakawan yang menjadi pembimbing sepanjang program dijalankan.

Disamping mempelajari teknik bacaan dan strategi pencarian maklumat, aktiviti berkumpulan seperti ulasan buku dan kuiz yang menguji pengetahuan umum peserta turut diadakan, bersesuaian dengan peringkat umur pelajar. 

Atas permintaan, satu sesi khas bersama Ketua Pustakawan dan pentadbir sekolah telah berlangsung pada tengah hari dengan perkongsian inisiatif-inisiatif pendigitalan perpustakaan dan sudut pandang perkembangan perpustakaan oleh kedua-dua pihak.

Sebelum berakhir, para pelajar dan guru telah dibawa melawat ke Koleksi Khas Jawi dan Galeri Tun Abdul Razak yang kaya dengan khazanah warisan bangsa yang amat bernilai. 

Program literasi maklumat SK Lembah Subang merupakan program anjuran Pusat Zakat Selangor bagi golongan asnaf dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Perpustakaan Tun Abdul Razak. 

Program telah berakhir tepat jam 3:00 petang dan menjadi penutup tirai misi pemindahan ilmu Perpustakaan Tun Abdul Razak kepada komuniti sekitar Lembah Klang untuk tahun 2024.