Pada 24 September 2022 (Sabtu) yang telah berlalu, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah berjaya menganjurkan bengkel “Touch-Typing for Beginners @ UiTM Cawangan Pahang” secara atas talian melalui platform Cisco Webex. Bengkel secara atas talian ini telah disertai oleh 33 orang peserta yang datang dari pelbagai latar belakang seperti murid sekolah, pelajar IPT serta golongan pekerja.
Bengkel ini telah menampilkan penceramah yang pakar dalam bidang “Touch-Typing” iaitu Puan Rohana Binti Johan, yang merupakan salah seorang kakitangan akademik berpengalaman luas di PPPG, UiTM Cawangan Pahang. Bengkel secara atas talian ini juga telah dibantu oleh dua (2) orang pensyarah di PPPG sebagai fasilitator di dalam sesi aktiviti bersama peserta di dalam kumpulan. Fasilitator-fasilitator tersebut juga merupakan pensyarah berpengalaman di pusat pengajian ini yang terdiri daripada Dr. Siti Fazilah Hamid dan Puan Nurul Zahidah Md. Juperi.
Secara asasnya bengkel “Touch-Typing for Beginners” ini mengajar teknik menaip dengan betul bagi memastikan tugas menaip dapat disiapkan dalam waktu yang singkat dan cepat dengan kesilapan yang minima. Bengkel ini juga bertujuan mendedahkan kepada peserta berkaitan dengan teknik dan kemahiran serta kaedah-kaedah terbaik yang dapat dikongsi dan diterapkan kepada mereka yang memerlukannya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sama ada sebagai pekerja mahupun pelajar atau mahasiswa yang ingin menyiapkan tugas, laporan kajian, tesis dan sebagainya.
Dengan terlaksananya program ini, tiga (3) objektif utama bengkel telah berjaya dicapai iaitu yang pertama menyokong hasrat pentadbir universiti untuk mengamalkan “Knowledge Transfer Program (KTP)” di kalangan komuniti dan NGO iaitu dengan memanfaatkan sumber, kepakaran dan ilmu pengetahuan yang ada di UiTM Cawangan Pahang dan disalurkan kepada golongan masyarakat sekeliling. Kedua, memberi pendedahan kepada peserta dalam mempelajari teknik asas menaip yang betul (touch-typing). Ketiga, salah satu inisiatif bagi penjanaan dana PPPG UiTM Cawangan Pahang yang juga merupakan hasrat pihak pengurusan universiti untuk menggalakkan penjanaan dana untuk Kumpulan Wang Amanah daripada program-program pendidikan, latihan, program-program akademik atau pertandingan.
Di samping itu, kejayaan program ini bermakna pihak PPPG telah berjaya mencapai salah satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan atau “Sustainable Development Goals (SDG)” iaitu SDG4 (“Quality Education”).
Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) amat berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa penganjur iaitu JK PDPI (Penjanaan Dana dan Pemindah Ilmu) yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan bengkel atas talian ini berjalan dengan lancar. Kami juga amat berterima kasih kepada pihak pengurusan UiTM Cawangan Pahang di atas kelulusan serta sokongan terhadap program ini. Semoga usaha ini akan dapat diteruskan dan ditambahbaik lagi di masa hadapan serta seterusnya mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan meningkatkan ketampakan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan UiTM di mata masyarakat.