Perkembangan pesat teknologi digital dan komunikasi di era pasca pandemik telah memberi peluang kepada para pensyarah di Universiti Awam khususnya UiTM dalam melaksanakan pembelajaran secara kolaboratif yang bermatlamat untuk membantu pelajar supaya dapat belajar dengan lebih berkesan. Bagi mendukung pengajaran dan pembelajaran Abad ke 21 yang menekankan empat perkara utama iaitu komunikasi, pemikiran kritikal, kolaborasi dan kreativiti, Fakulti Perladangan & Agroteknologi (FPA), UiTM Kampus Jengka telah mengaplikasikan pengajaran secara kolaboratif di dalam kursus AGR255 (Legal, Ethical and Social Issues in Plantation) dengan menjadikan ini sebagai salah satu metode inovasi dalam PdP pensyarah dan pelajar.
Seiring dengan pendekatan tersebut pada 19 Mei 2022 yang lalu, FPA UiTM Kampus Jengka telah menjemput dua orang pensyarah tamu iaitu Puan Nurhayati Binti Mohd Shahar, Pegawai Tenaga Kerja Kanan di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sarawak dan Encik Mohd Ridzuan Bin M. Zaini, Penolong Pengurus PKPP Plantation Sdn. Bhd. Negeri Pahang bagi menyampaikan topik berkaitan “Penguatkuasaan Undang-Undang Perburuhan Akta Kerja 1955 (Akta 256) dan Pengenalan Kepada Skim Pensijilan MSPO”. Pengajaran kolaboratif yang menggunakan kaedah penyampaian ini telah dijalankan secara atas talian dalam dua sesi yang dihadiri hampir 130 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Ladang, para pensyarah FPA serta kakitangan Unit Pengurusan Ladang (UPL).
Secara amnya, perkongsian pengajaran di antara pensyarah fakulti dan pensyarah tamu ini telah berjaya mengupas isu-isu semasa tentang tanggungjawab majikan dan pekerja dalam sektor pekerjaan serta pengenalan mengenai skim pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam sektor perladangan sawit. Antara isu berkaitan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang diperincikan adalah berkaitan hak-hak utama pekerja. Antara kupasan yang menarik adalah berkaitan Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Am Bergaji, Cuti Tahunan Bergaji, Cuti Sakit Bergaji, Elaun Cuti Bersalin, Bayaran Kerja Lebih Masa, Waktu Bekerja serta Bayaran Gaji. Maklumat berkaitan akta ini adalah sangat penting terutamanya bagi pelajar tahun akhir yang akan mulai memasuki alam pekerjaan. Dengan pengalaman bekerja hampir 13 tahun di Jabatan Tenaga Kerja, Puan Nurhayati juga berkongsikan kes-kes tuntutan oleh majikan dan pekerja yang sering berlaku di Jabatan Tenaga Kerja.
Encik Mohd Ridzuan yang telah berkhidmat hampir 11 tahun di industri perladangan pula berkongsikan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Pelajar didedahkan dengan kepentingan pelaksanaan MSPO dimana pelaksanaan ini dapat memudahkan pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian yang terbaik dan sekaligus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat antarabangsa. Pelajar juga didedahkan dengan Piawaian MSPO yang meliputi tujuh (7) prinsip, termasuk pematuhan kepada keperluan perlembagaan, tanggungjawab sosial, syarat pekerjaan, alam sekitar dan amalan perladangan terbaik.
Dengan penganjuran program ini, FPA juga mendokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti dan ianya juga seiring dengan usaha UiTM dalam meningkatkan ketampakan (visibility) UiTM Kampus Jengka khususnya warga FPA dengan pihak luar.
Justeru, pengajaran secara kolaboratif boleh dijadikan sebagai suatu model pembelajaran pada masa sekarang ditambah pula dengan penggunaan teknologi media yang membantu melancarkan proses pembelajaran. Selain itu, hubungan sosial yang baik di antara pensyarah, pelajar dan industri luar dapat diwujudkan dan merupakan salah satu usaha bagi membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan.