Pada 20 Mei 2022 lalu, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Kampus Jengka telah menjemput seorang pensyarah tamu iaitu Encik Muhammad Azamuddin Radhi, Penolong Pengurus Ladang Bukit Serok daripada syarikat Far East Sdn. Bhd. bagi menyampaikan topik berkaitan “Penyelenggaraan Ladang”. Pengajaran kolaboratif bersama industri perladangan menggunakan kaedah penyampaian secara atas talian yang dihadiri oleh 140 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Ladang, para pensyarah FPA serta kakitangan Unit Pengurusan Ladang (UPL) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Penyampaian kolaboratif secara atas talian ini adalah salah satu inisiatif daripada pihak fakulti berkongsi maklumat secara terus untuk kursus AGR242 (General Field Maintenance) bersama pihak industri. Perkongsian pengajaran di antara pensyarah fakulti dan pensyarah tamu ini bertujuan untuk berkongsi pendapat dan pengetahuan tentang asas penyelenggaraan yang diamalkan di sektor perladangan tanaman kelapa sawit.
Antara kupasan yang dikongsikan oleh pensyarah tamu adalah berkaitan dengan penyelenggaraan jalan ladang dan lorong tuaian, pengurusan rumpai dan standard amalan pemangkasan kelapa sawit. Pengkongsian maklumat ini adalah sangat penting terutamanya bagi pelajar tahun akhir yang akan mulai memasuki alam pekerjaan berkaitan industri perladangan kelapa sawit nanti. Pelajar juga didedahkan dengan Piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang meliputi tujuh (7) prinsip, termasuk pematuhan kepada keperluan perlembagaan, tanggungjawab sosial, syarat pekerjaan, alam sekitar dan amalan perladangan terbaik.
Di samping itu juga, Encik Azamuddin juga berkongsi tentang laluan kerjaya selepas pelajar berjaya menamatkan program Diploma dan Ijazah Sarjana kelak. Pihak Fakulti berharap dengan perkongsian ini, diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan pertanian baik yang diamalkan oleh pihak industri perladangan di samping dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan.