Penerapan Integriti, Etika dan Amanah Dikalangan Pelajar Perakaunan

Integriti, etika dan amanah dalam kerja menjadi suatu kewajipan yang sepatutnya diamalkan oleh semua pekerja dalam sesebuah organisasi. Dewasa ini, banyak berita di dada akhbar yang melaporkan kejadian pecah amanah dan salah laku dikalangan masyarakat terutamanya akauntan dan pengurus kewangan.

Bagi membendung perkara ini daripada berlaku, pemahaman terhadap integriti dan etika harus dipupuk seawal peringkat mungkin terutamanya terhadap penuntut di institusi pengajian tinggi. Justeru itu, Fakulti Perakaunan dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Pahang telah mengambi inisiatif dengan mengadakan beberapa sesi ceramah berkaitan integriti, etika dan amanah sebagai permulaan dan bakal diikuti dengan pelbagai aktiviti lagi pada masa hadapan.

Ceramah yang diadakan ini juga pada masa yang sama bertujuan untuk mengisi slot dalam program mingguan Perjumpaan Penasihat Akademik. Sebanyak tiga slot ceramah akan diselit dalam program tersebut iaitu ceramah bertajuk Kunci Kebahagiaan Pelajar Menurut Islam oleh Dr. Rasyad Afif Ibrahim, Adab dan Amanah Bakal Akauntan oleh Dr Norhapizah Mohd Burhan dan Akauntan Cemerlang Menurut Islam oleh Ketua Pusat Pengajian ACIS, Dr. Hj. Asjad Mohamed.

Ceramah pertama yang disampaikan oleh Dr. Rasyad Afif Ibrahim, pensyarah kanan dari ACIS telah dilaksanakan pada 9 Jun 2022 yang lalu bertempat di Dewan Kuliah 2, UiTM Cawangan Pahang. Seramai 275 pelajar diploma perakaunan telah menghadiri ceramah yang berlangsung selama 1 jam 30 minit tersebut, bermula jam 4.00 petang dan berakhir pada 5.30 petang. Antara pengisian dalam ceramah itu adalah nasihat serta kepentingan dalam memiliki sifat integriti, etika dan amanah sebagai seorang islam dalam melakukan sesuatu tidak kira sebagai seorang pelajar atau pekerja.

Program ceramah ini telah membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.