Pendekatan Pengajaran Kolaboratif Membuka Dimensi Baru Dalam Penyampaian Subjek Fizik di UiTM

Seiring dengan perkembangan semasa, pelaksanaan pendidikan fleksibel menjadi salah satu inisiatif dalam mewujudkan kepelbagaian kaedah pembelajaran yang dapat melahirkan pelajar yang lebih holistik. Menerusi pendidikan fleksibel ini, aktiviti pembelajaran dapat dilaksanakan tanpa mengira sempadan masa, mahu pun ruang, kerana semua maklumat dan bahan pembelajaran boleh diakses dengan mudah secara dalam talian. Di UiTM, keberadaan pensyarah di seluruh Malaysia telah membuka peluang baru dalam mewujudkan amalan pengajaran kolaboratif yang dilihat mampu memberikan implikasi positif kepada para pelajar.

Justeru, pada semester Oktober 2022 – Februari 2023, sekumpulan pensyarah Fizik daripada UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah dan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah mengambil bahagian dalam melaksanakan aktiviti pengajaran kolaboratif, melibatkan penyertaan hampir 200 orang pelajar program Diploma Sains (AS120) yang mengambil kod kursus PHY110 (Mechanics I) pada semester ini di Kampus Jengka. Pemilihan Model 2 iaitu Kolaborasi Penyampaian telah dipilih berpandukan kepada Kerangka Pengajaran Kolaboratif dan Pelaksanaannya di Universiti Teknologi MARA.

Melalui model ini, seorang pensyarah tamu iaitu Dr. Amira Saryati binti Ameruddin daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diundang pada 16 Disember 2022 yang lalu, untuk menyampaikan perkongsian berkenaan topik Newton’s Laws of Motion dalam program PHY110 Online Webinar. Pemilihan Dr. Amira sebagai pensyarah tamu adalah bertepatan dengan latar belakang beliau yang merupakan graduan dalam bidang fizik, dan mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Australian National University, serta bergiat aktif dalam aktiviti penyelidikan berkaitan dengan sains bahan seperti semikonduktor dan fizik jirim terkondensasi.

Program PHY110 Online Webinar telah dijalankan secara atas talian menggunakan pelantar Cisco Webex. Dr. Amira telah menyampaikan syarahan bertajuk Newton’s Laws of Motion, yang merupakan salah satu silibus dalam pelan pengajaran kursus PHY110. Perkongsian selama 2 jam oleh beliau meliputi subtajuk seperti takrifan daya, contoh dan pengiraan yang melibatkan Newton’s Laws of Motion, graviti, daya normal, daya geseran, daya ketegangan, free body diagram dan sistem takal. Malah, Dr. Amira turut mengaitkan teori fizik yang diajar dengan kehidupan seharian.

Hasil daripada aktiviti PHY110 Online Webinar ini dapat dilihat berdasarkan kepada respon positif yang diberikan oleh para pelajar meliputi aspek kaedah penyampaian pensyarah tamu, bahan pengajaran yang disediakan serta kelancaran program. Selain itu, pendekatan pengajaran dan perkongsian ilmu secara kolaboratif dengan pensyarah dan kepakaran luar telah membuka satu dimensi dan lembaran baru kepada tahap pemahaman dan penerimaan pelajar terhadap sesuatu ilmu yang disampaikan. Dengan wujudnya kepelbagaian kaedah penyampaian ilmu, ia sedikit sebanyak dapat mengekalkan momentum minat pelajar terhadap subjek fizik, selain memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman mengikuti kuliah yang disampaikan oleh pensyarah dari institusi yang berbeza. Malah, perkongsian pengalaman Dr. Amira sewaktu beliau melanjutkan pengajian di luar negara juga telah berjaya menarik minat pelajar untuk lebih meminati bidang sains terutamanya fizik, di samping menaikkan semangat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Aktiviti PHY110 Online Webinar ini bukan sahaja memberi impak positif kepada para pelajar, namun ia juga boleh menjadi rujukan buat semua pensyarah fizik di UiTM untuk menambahbaik kaedah penyampaian dalam bilik kuliah, dari aspek cara pembentangan yang bersahaja, disusuli dengan nota pembentangan yang ringkas dan menarik, serta diselitkan dengan grafik simulasi yang interaktif bagi memudahkan pelajar untuk lebih memahami tentang sesuatu konsep fizik. Di samping itu, pensyarah juga boleh mengambil pendekatan untuk bertanyakan soalan dengan lebih kerap kepada pelajar serta menggalakkan pelajar untuk turut sama menyelesaikan pengiraan bagi setiap permasalahan yang diberikan. Ini sedikit sebanyak dapat mengekalkan pengajaran dan pembelajaran dua hala dan memastikan pelajar kekal aktif di dalam talian.

Oleh yang demikian, diharapkan pada masa akan datang, akan ada lebih ramai pensyarah di UiTM dapat mengambil bahagian dalam mewujudkan aktiviti pengajaran kolaboratif, memandangkan ia mampu untuk menghidupkan fenomena pembelajaran yang konstruktif selain memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.