Pendedahan Ilmu Bantuan Asas Kecemasan Bantu Selamat Nyawa

PULAU PINANG, 7 Mei 2024 – Kecemasan adalah satu keadaan atau situasi kritikal yang mana boleh mengancam nyawa. Jika tidak diberi rawatan segera, kesakitan mangsa akan menjadi lebih serius, mudarat dan mungkin mengancam nyawa. Justeru, adalah wajar jika pendedahan mengenai bantuan asas kecemasan ini turut diberikan kepada orang awam bagi memastikan rantaian kelangsungan hidup (chain of survival) ini tidak terputus dan dapat menyelamatkan nyawa mangsa.

Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bertam telah mendapat peluang berkongsi ilmu bantuan asas kecemasan ini bersama pelajar-pelajar dan guru-guru di Pusat Pendidikan Tahfiz Sains & Teknologi Pulau Pinang (PPTSAT) dalam satu slot ceramah kesihatan Program Saintis Muda dan Doctor To Be pada 7 Mei 2024 yang lalu. Program anjuran FSK, UiTM Kampus Bertam ini telah dihadiri oleh lebih kurang 250 orang pelajar sekolah menengah dan rendah (tahun 4 & 5) juga 15 orang guru sekolah tersebut.

Antara pengisian ilmu bantuan asas kecemasan yang telah dikongsikan oleh penceramah, Puan Norsuraya Hassan (Pensyarah Kejururawatan) adalah mengenai talian kecemasan, kit pertolongan cemas (first aids kit), cara-cara bantuan kecemasan yang boleh diberikan dalam beberapa situasi dan juga pengenalan kepada resusitasi kardiopulmonari (CPR). Selepas sesi ceramah pelajar-pelajar didedahkan pula dengan sesi praktikal melakukan CPR, cucian luka dan balutan asas. Masing-masing dilihat amat berminat dan teruja melakukan aktiviti ini.

Diharapkan aktiviti seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar orang awam di Malaysia bukan sahaja mendapat ilmu baru malah dapat membantu memberikan bantuan awal kepada mangsa kecemasan sebelum ketibaan pasukan perubatan demi menyelamatkan nyawa mangsa.