PENDEDAHAN EKOSISTEM HUTAN PAYA LAUT KEPADA PELAJAR AS255

KUANTAN, 19 Jun 2023 – Pada 17 Jun 2023 yang lalu, pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti telah didedahkan dengan ekosistem Hutan Paya Laut yang terletak di Kuantan, Pahang. Hutan Paya Laut tersebut dibawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Para pelajar dibawa melawat ke kawasan hutan dengan melalui jambatan yang diperbuat daripada simen dan sebahagian daripada besi.

Pelbagai tumbuhan hutan paya laut ditemui antaranya Rhizophora apiculata, Avicennia dan Bruguiera. Haiwan seperti siput dan ketam nipah turut dijumpai di kawasan hutan tersebut. Menara tinjau yang dibina oleh Jabatan Perhutanan membolehkan para pelajar melihat kawasan hutan secara lebih meluas.

Perkongsian dan penerangan daripada renjer yang hadir amat membantu para pelajar dalam memahami kepentingan ekosistem hutan paya laut. Pihak Perhutanan amat mengalu-alukan kehadiran warga UiTM pada masa akan datang ke kawasan Hutan Paya Laut bagi menjalankan aktiviti penanaman semula spesis hutan paya laut selain membuat lawatan sambil belajar. Diharapkan program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang, dalam memastikan pembelajaran tidak hanya bertumpu di bilik kuliah sahaja tetapi dibawa terus ke alam semulajadi.

Laporan disediakan oleh Ts Dr Nurun Nadhirah Md Isa, Pensyarah Biologi UiTM Cawangan Pahang