Pendapat Dr Shahrin Nasir : Segera kuat kuasa undang-undang e-hailing

MUKADIMAH:
Isu antara perkhidmatan teksi dan e-hailing, Grab bukan perkara baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, baru-baru ini, ia kembali hangat apabila berlaku kekecohan ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan bersama pemandu-pemandu teksi di Langkawi.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Timbalan Pengarah, Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Shahrin Nasir berkongsi pandangannya kepada wartawan Utusan Malaysia, SAJIDA ASARULAH KHAN.

UTUSAN: Apa pandangan Dr. mengenai isu antara pemandu teksi dan Grab?

SHAHRIN: Terdapat lebih 70,000 pemandu teksi di Malaysia dan lebih 60 peratus dimiliki oleh syarikat. Isu ini telah berpanjangan sejak kerajaan terdahulu. Jika kita imbas kembali, kerajaan terdahulu telah meluluskan beberapa polisi bagi memastikan pemandu e-hailing perlu melalui semua undang-undang yang dikenakan kepada pemandu teksi. Namun, jika saya tidak silap, walaupun undang-undang e-hailing telah diluluskan, namun masih belum boleh dikuatkuasakan kerana masih belum diwartakan.

Apa yang seharusnya ada dalam polisi untuk memastikan persaingan secara sihat mampu diwujudkan antara pemandu teksi dan Grab?

Pastinya pemandu e-hailing perlu melalui produser yang dikenakan kepada pemandu teksi. Kerajaan juga perlu membuat kajian mengapa undang-undang yang telah diluluskan masih tidak dilaksanakan. Kerajaan juga boleh menambah baik perancangan yang dibuat sebelum ini.

Pada pendapat Dr., adakah sistem e-hailing di negara ini baik dan memberi kelebihan kepada pemandu?

Kita perlu lihat semula bagaimana syarikat e-hailing mengawal selia pemandu-pemandu mereka, juga adakah terdapat undang-undang yang mengawal selia antara pemandu e-hailing dengan syarikat e-hai­ling. Juga kaji adakah perjanjian di antara mereka memberi ke­lebihan kepada pemandu atau kepada syarikat sahaja.

Apa langkah yang perlu kerajaan ambil untuk mencari jalan penyelesaian agar kedua-dua perniagaan teksi dan Grab diteruskan?

Dalam isu ini, kerajaan boleh mendapatkan pandangan da­ripada pengguna antaranya perkhidmatan yang mana lebih disukai mereka dan kenapa. Ini kerana apa sahaja perkhidmatan, pengguna yang akan menentukan sama ada ia baik atau sebaliknya. Oleh itu kerajaan perlu mengambil kira impak yang akan berlaku terhadap kedua-dua industri agar dapat membantu meningkatkan ekonomi kedua-dua pihak.

Apa lagi yang kerajaan perlu lakukan untuk memastikan industri teksi terus bertahan?

Mungkin kerajaan perlu mengkaji model industri teksi dan mencadangkan satu pelan perniagaan yang lebih lestari.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/segera-kuat-kuasa-undang-undang-e-hailing-1.772863#ixzz5UiD7wejS
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

0
0