Seri Iskandar, 13 September 2024 – Dalam usaha untuk memberikan peluang yang lebih saksama kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Kursus Pemindahan Ilmu Asas Hidroponik oleh golongan Orang Kurang Upaya kepada komuniti telah dijalankan di Pusat Pemulihan dalam Komuniti, Titian Harapan Perak. Kursus yang dikelola oleh Jabatan Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Kampus Seri Iskandar sebagai penyedia latihan dengan kerjasama daripada Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah dan komuniti di sekitar Bota, Perak. Program yang telah berlangsung selama setengah hari pada 1 Februari 2024 ini adalah merupakan sokongan dan tajaan oleh Geran MyRA, UiTM.
Program pemindahan ilmu ini melibatkan penyertaan sembilan pelatih OKU, sepuluh ahli komuniti, penyedia latihan, wakil daripada Jabatan Pertanian, guru-guru, dan pengerusi PPdK. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelatih OKU dalam bidang pertanian hidroponik dan memanfaatkan komuniti setempat dengan ilmu yang diperoleh. Objektif utama program ini adalah untuk mengkaji kebolehan pelatih OKU dalam mengajar komuniti mengenai langkah-langkah yang terlibat dalam pertanian hidroponik. Aktiviti ini dijalankan setahun selepas sistem hidroponik HTL 100 ditempatkan di PPdK, di mana pelatih-pelatih menerima latihan komprehensif mengenai teknik pertanian hidroponik.
Aktiviti utama dalam program ini adalah sesi pembelajaran secara praktikal, di mana pelatih OKU bertindak sebagai pengajar dengan membimbing ahli komuniti mengenai langkah-langkah asas pertanian hidroponik. Aktiviti ini merangkumi penerangan mengenai peralatan yang diperlukan seperti sistem hidroponik, cocopeat sebagai medium penanaman, dan alatan asas lain. Pelatih juga menunjukkan cara-cara menyediakan cocopeat, meletakkan pasu pada rak, menanam benih, dan mencampur serta menggunakan baja dengan betul.
Setiap pelatih OKU dipasangkan dengan seorang ahli komuniti, membolehkan arahan secara peribadi dan pemindahan ilmu secara langsung. Aktiviti ini berjaya meningkatkan keyakinan pelatih OKU dalam berkongsi ilmu serta memberikan peluang kepada komuniti untuk belajar teknik pertanian moden yang mesra alam dan berpotensi menjana pendapatan.
Pada akhir sesi, ahli komuniti turut menilai keberkesanan pelatih dalam menyampaikan ilmu. Hasil maklum balas yang diterima amat positif, dengan peserta mengakui bahawa arahan yang diberikan adalah jelas dan efisien. Program ini bukan sahaja membantu pelatih OKU membina kemahiran hidup, malah turut memupuk semangat inklusiviti dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.
Kursus Pemindahan Ilmu Asas Hidroponik ini bukan sahaja mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasa golongan OKU melalui pembelajaran praktikal dan kemahiran hidup, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti. Program ini telah berjaya membuktikan bahawa dengan bimbingan dan sokongan yang tepat, golongan OKU mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat serta menjadi contoh teladan dalam bidang pertanian moden dan lestari.