KOTA KINABALU, 22 DISEMBER 2021 (RABU) : Keputusan rasmi Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) bagi sesi 2021/2022 telah diumumkan oleh Rektor UiTMCSH, Ybhg. Prof. Madya Datuk Dr. Haji Abdul Kadir Rosline menerusi saluran Facebook rasmi UiTM Cawangan Sabah pada Rabu, jam 9 malam. Datuk Rektor mengumumkan, jumlah pelajar keluar mengundi adalah 3,793 atau 86.13 peratus daripada keseluruhan 4,404 pelajar berdaftar di UiTMCSH Kampus Kota Kinabalu dan Kampus Tawau.
“Seramai 22 calon yang bertanding daripada enam fakulti iaitu Fakulti Pengurusan & Perniagaan (BA), Fakulti Perakaunan (AC), Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (AM), Fakulti Sains Gunaan (AS), Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan (HM) dan Fakulti Perladangan & Agroteknologi (AT) bagi pemilihan dua orang mewakili setiap fakulti masing-masing.
“Selepas proses pengiraan undi maka diumumkan bahawa pemenang pemilihan JPP sesi 2021/2022 UiTMCSH adalah Saudari Emeera Aaliyah Yusmady dan Nurfazlyana Laide (BA), Saudari Nur Fatihah Azhan Borhan dan Saudara Shahirul Azri Aman Shah (AC), Saudara Ezlan Wong Sui Luong dan Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah (AM), Saudari Liyana Sofia Izham Reza dan Maslina Jeferydin (AS), Saudari Alfonsa Alphonsius Akee dan Saudara Mohd Haziq Hafizul Sharbini (HM). Terdahulu, Saudara Feaoulsan Roslin dan Mohammad Akmal Rizal Amirkadra (AT) telah diisytiharkan menang tanpa bertanding.
“Tahniah kepada semua calon bertanding dan selamat menjalankan tugas dan amanah kepada barisan JPP yang baharu. Kita sempurnakan seikhlas hati,” katanya.
Sementara itu, Datin Dr. Rafidah @ Malissa Salleh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pusat Pengiraan Undi, Pemilihan JPP Sesi 2021/2022 UiTMCSH, memaklumkan komitmen yang ditunjukkan oleh staf di semua bahagian membolehkan urusan perjalanan pemilihan JPP dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan di UiTMCSH pada kali ini telah menepati sasaran awal iaitu 86 peratus.
“Masih ada ruang penambahbaikan bagi proses pemilihan JPP UiTM pada masa akan datang. Masalah Google account pelajar yang tidak aktif, gangguan bekalan elektrik di lokasi atau kawasan kediaman pelajar dan capaian internet yang terhad sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada peratusan mengundi,”ujarnya.
Untuk makluman, pemilihan JPP telah bermula dengan notis pembubaran JPP UiTM Sesi 2020/2021 yang dikeluarkan pada 10 Disember 2021. Seterusnya borang penamaan calon secara atas talian dibuka pada 13 Disember, jam 8.30 pagi sehingga ditutup pada 15 Disember, jam 12.30 tengahari. Kemudian, pengumuman calon-calon yang layak bertanding diumumkan pada 17 Disember, jam 9 malam secara langsung melalui saluran Facebook rasmi UiTM Cawangan Sabah.
Calon yang bertanding dibenarkan berkempen bermula dari 17 Disember sejurus selepas pengumuman calon bertanding dan tamat tempoh berkempen pada 20 Disember, jam 11.59 malam. Hari pembuangan undi diadakan secara atas talian bermula seawal jam 8 pagi pada 21 Disember 2021 dan berakhir jam 6 petang pada 22 Disember 2021. Pemilihan JPP UiTM Sesi 2021/2022 merupakan kali dua dilaksanakan secara atas talian ekoran keadaan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.